Wacana Politik Bersama Pak Cahyadi Takariawan

Posted on Updated on

Bismillah

Alhamdulillah, semalam sempat saya mengikuti satu slot bersama Pak Cahyadi Takariawan, antara tokoh penting yang berjuang dalam PKS (Partai Keadilan Sejahtera) di Indonesia. Beliau juga merupakan ahli majlis syura PKS.

Alhamdulillah, perkongsian semalam terlalu banyak manfaatnya. Antara perkara yang harus kita teladani ialah, kita MESTI tidak putus-putus teruskan usaha dakwah walaupun sehebat mana tentangan yang diberikan oleh pihak pemerintah.

Pak Cahyadi berkongsi bagaimana keperitan ikhwah di Indonesia ketika di zaman pemerintahan Suharto. Ramai pejuang-pejuang Islam dibunuh di zamannya, pergerakan-pergerakan Islam ditekan habis-habisan untuk menahan kebangkitan kesedaran Islam di Indonesia. Inilah ujian yang berlaku ketika di zaman Suharto.

Kini Indonesia dipimpin oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan PKS bekerjasama untuk memenangkan SBY. Kerjasama antara PKS dan Partai Demokrat (dipimpin oleh SBY) ini berlaku sejak PilPres (Pemilihan Presiden) 2004. Tindakan ini dilakukan oleh PKS atas beberapa sebab. Antaranya adalah SBY merupakan calon presiden yang paling kurang mudhoratnya berbanding calon-calon yang lain.

Alhamdulillah atas kerjasama ini, PKS memperolehi banyak manfaatnya. Manfaat yang paling dirasai adalah kebebasan untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti dakwah dan tarbiyyah di seluruh Indonesia. Dan ini merupakan sesuatu nikmat yang besar impaknya ke atas ikhwah di sana khususnya, dan masyarakat Indonesia umumnya.

Melalui kerjasama ini, PKS telah berjaya membentuk satu ‘Payung Politik’ yang agak kukuh. Mereka memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dengan menggerakkan seluruh jentera yang ada untuk menyebarluaskan mesej Islam di sana.

Pada Pemilu 1999, PKS memperolehi sebanyak lebih kurang 1.3% undi. Pada 2004, ia meningkat kepada 7.4%. Dan pada Pemilu 2009 yang diadakan baru-baru ini, PKS hanya berjaya meningkatkan sedikit sahaja undi kepada 7.8%.

Kalau diikutkan unjuran yang mereka buat, sepatutnya mereka mampu untuk mencapai undi melebihi 20% pada Pemilu 2009 seterusnya mampu untuk mencalonkan presiden dari PKS sendiri. Namun, atas kegagalan ini, PKS sekali lagi akan bekerjasama dengan Partai Demokrat, dengan calon presidennya SBY pada PilPres 2009 Julai nanti.

Alhamdulillah, itulah sedikit sebanyak perjuangan PKS, sebuah parti yang amat dikenali dengan kegiatan dakwahnya.

Leave a comment