Month: March 2011

“Ahli Ibadat yang Bermain-Main”

Posted on

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah telah mengatakan: “Bagi orang yang berani dan kuat yang mampu menggerunkan musuh dengan serangannya, perlu berdiri di barisan depan dan berjihad menentang musuh Allah. Tindakan ini lebih utama dari mengerjakan haji, puasa, sedekah dan ibadah sunat yang lain.”

“Bagi tokoh-tokoh agama yang alim dan memahami sunnah, halal haram, kebaikan dan kejahatan, pandai bergaul dengan orang ramai, mengajar dan menasihati dalam bab-bab agama lebih utama baginya dari mengasingkan diri dari orang ramai dan menghabiskan masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan bertasbih semata-mata.”

– dipetik daripada Al-Muntalaq karangan Muhammad Ahmad Ar-Rashid

Astaghfirullah…

Astaghfirullah…

Astaghfirullah…

Terasa seperti menerima tembakan padu menembusi hati yang sudah lama kaku…

Terasa seperti amalan-amalan sebelum ini tidak lain hanyalah membuang masa…

Terasa seperti hidup ini tidak lain hanyalah demi diri sendiri…

Aku bukanlah tokoh agama, bukan juga dalam kalangan alim ulama, tetapi aku mengetahui bahawa diriku mempunyai kelebihan yang macam mana. Selama ini aku sangka bahawa apa yang sering menjadi ibadah harianku, itulah yang terbaik buatku. Ya, aku amat yakin bahawa yang aku lakukan itu sunnah dan boleh membawa diriku dekat padaNya. Akan tetapi, aku terlupa bahawa aku ini siapa.

Seringkali dalam perancangan hidupku, aku mengaturnya mengikut prioriti. Tetapi aku terlupa, bahawa hampir semua yang aku aturkan hanyalah untuk diriku sahaja. Begitu kurang masaku dimanfaatkan untuk orang lain. Begitu kurang ilmuku disampaikan dengan kawan-kawan lain. Begitu kurang kelebihan yang aku ada dikongsikan pada rakan-rakan seperjuanganku. Aku leka dengan diriku.

Astaghfirullah, sungguh tinggal sedikit lagi masaku di bumi US ini. Alangkah hinanya diriku, membiarkan rakan-rakanku melakukan kerja-kerja, dan aku hanya melihatnya sahaja. Ya Allah, besarnya dosa hambamu ini. Ampunilah diriku ya Allah, dan bantulah aku untuk berubah…

Advertisements