Ulasan Buku

Agar Shahadat Anda Tidak Sia-Sia by Abdul Mun’im Musthafa

Posted on Updated on

Bismillah

Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah

Berjaya juga akhirnya menghabiskan buku nipis ini setelah beberapa minggu membelinya. Satu buku yang mengupas secara detail pengertian Syahadah dan konsepnya. Penjelasan secara terperinci diberikan bagi membolehkan pembaca memahami Syahadah secara menyeluruh dan melaksanakannya insyaAllah.

Buku ini mengandungi 2 isi kandungan yang utama iaitu makna “La Ilaaha Illallah” dan syarat-syarat penerimaan “La Ilaaha Illallah”.

Secara ringkasnya, penulis menerangkan bahawa “La Ilaaha Illallah” adalah satu penolakan dan penerimaan yang mutlak. Penolakan terhadap segala bentuk thaghut atau perkara-perkara yang disama-nilaikan dengan Allah, sama ada secara zahir mahupun batin. Ia adalah satu penolakan yang mutlak tanpa kompromi bahawa sememangnya tiada apa-apa pun di dunia ini yang boleh disekutukan dengan Allah ‘azza wajal.

Dan penerimaan bahawasanya Allah sahaja merupakan subjek yang layak disembah, ditaati, diberikan segala kesyukuran dan ketundukan yang mutlak, sama ada secara zahir mahu pun batin. Penerimaan ini berlaku secara menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan, dan segala-galanya dilakukan adalah kerana Allah semata-mata.

Penerimaan dan penolakan ini hanya boleh berlaku sekiranya seseorang itu ikhlas tanpa paksaan dalam melaksanakannya, serta mengambil sunnah Rasulullah sebagai tonggak ikutan dalam melaksanakan amalan-amalan ibadah.

Penulis mengemukakan banyak nas sebagai dalil membuktikan setiap kenyataan yang dibuat. Hal ini membantu mengukuhkan lagi penulisan beliau dan mampu menghasilkan rasa percaya, takut serta gentar seterusnya berusaha mengelakkan agar syahadah tidak menjadi sia-sia.

Penulisan beliau bagi saya lebih berbentuk warning atau amaran kepada pembaca, agar betul-betul memerhatikan setiap patah perkataan yang ditulis, untuk memahami konsep syahadah yang sebetulnya. Pemahaman yang jelas tentang syahadah adalah amat penting agar kita betul-betul tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman, dan tidak mensyirikkan Allah.

Buku ini amat sesuai sekali untuk dijadikan bahan tarbiyyah dan disebarkan penulisannya dengan bahan-bahan yang lain yang sedia ada di luar sana insyaAllah.

Syahadat ini ibarat akar pada sebuah pokok. Jika kuat akar pokok itu, maka kuat jugalah ketahanan pokok tersebut dari goncangan-goncangan luar yang amat dahsyat sekali. Jika lemah akarnya, maka mudahlah pokok itu tumbang ditiup angin.

Walahua’lam.

Advertisements

Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai ke Syurga

Posted on

Bismillah

Alhamdulillah, berjaya saya menamatkan sekual buku “Aku Terima Nikahnya” karya Ustaz Hasrizal, pemilik blog saifulislam.com. Buku ini merupakan sambungan perkongsian pengalaman hidup tetapi ia lebih berfokus kepada isu rumah tangga.

Buku ini mengandungi banyak pengajaran penting yang boleh dijadikan iktibar terutamanya dalam kehidupan berumah tangga. Antara yang menarik yang dikupas ialah isu rumah tangga yang dibina dengan permulaan yang baik, iaitu tidak bercouple sebelum berkahwin.

Isu ini diketengahkan selepas penulis menerima banyak aduan tentang masalah yang berlaku dalam rumahtangga yang dibina oleh 2 individu yang mempunyai pegangan agama yang baik. Krisis ini cuba diselongkari puncanya kerana semakin hari bilangan kesnya bertambah ke tahap yang merisaukan.

Apa yang ditekankan oleh Ustaz Hasrizal ialah, walaupun rumahtangga itu dibina dengan menjaga batas-batas syara’ sebaik mungkin, namun ia bukanlah penjamin bagi keluarga yang akan kekal bahagia tanpa ribut dan taufan. Pasangan suami dan isteri sebegitu telah pun memenuhi syariatullah, namun ada satu lagi elemen penting yang mesti dijaga iaitu sunnatullah.

“Tanggungjawab tanpa cinta”, inilah frasa yang digunakan oleh beliau untuk menggambarkan situasi keadaan rumahtangga yang dibina atas syariatullah, namun terlupa bahawa pasangan yang hidup tanpa cinta akhirnya akan mencetuskan satu perasaan jemu dalam kehidupan mereka, lantas akan berlakulah keretakan yang mungkin berakhir dengan penceraian.

Isu yang diketengahkan ini menjadi satu pengajaran penting buat semua yang sedang atau akan berumahtangga. Ia adalah satu fenomena yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kita semua mempelajari dan memahami kehidupan berumahtangga yang tidak harus kering daripada cinta dan persefahaman antara ahli-ahlinya.

Mudah-mudahan apa yang dikupas oleh penulis dalam buku ini dapat membantu kita semua mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini insyaAllah.

Wallahua’lam.

Buku “Aku Terima Nikahnya”

Posted on

Bismillah

Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu, sempat saya menghabiskan buku “Aku Terima Nikahnya” yang dikarang oleh Abu Saif atau Ustaz Hasrizal. Bagi yang tidak pernah membaca tulisan beliau di blog saifulislam.com, pasti menyangka buku ini adalah bagi mereka yang sudah berumah tangga sahaja. Tetapi sebenarnya apa yang dicoretkan dalam buku tersebut, adalah lebih daripada cerita rumah tangga. Ia adalah cerita sebuah realiti kehidupan.

Buku tersebut menceritakan 1001 masalah yang dihadapi oleh penulis sepanjang hidupnya. Dan ianya tertumpu pada kehidupan di alam universiti dan rumah tangganya. Namun setiap masalah yang beliau hadapi dipositifkan untuk menjadi teladan yang berguna pada pembaca-pembacanya.

Isi kandungannya bukanlah menceritakan mengenai sebuah kehidupan yang ideal, tetapi lebih kepada realiti yang semestinya biasa dihadapi oleh manusia yang berjuang. Ya, manusia yang berjuang di jalan Allah.

Ia merupakan sebuah kupasan hidup dari aspek politik, kekeluargaan, pengurusan hidup, dakwah dan tarbiyyah, pembelajaran, dan aspek-aspek lain yang diolah menjadi sebuah jalan cerita untuk diproses oleh pembaca-pembacanya supaya boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Buku ini bukan sekadar memenuhi keperluan intelektual, bahkan meliputi aspek emosional dan spiritual yang dapat diambil iktibar menerusi pengalaman yang dilalui oleh penulis sendiri. Terasa kenyang dan puas hati setelah membaca buku ini.

Alhamdulillah, segala pengajaran yang diperolehi daripada kisah hidup beliau boleh kita teladani dalam hdup seharian sama ada kita ini pemimpin keluarga, persatuan, syarikat, organisasi, asalkan kita dapat memproses apa yang dibaca dengan baik insyaAllah.

Buku-buku yang menceritakan pengalaman hidup seseorang seperti ini amat penting sebagai panduan kehidupan di dunia realiti yang serba mencabar ini. Bukan setakat boleh diaplikasikan dalam kehidupan sendiri, bahkan boleh kita bantu orang lain untuk menghadapi cabaran di luar sana.

Bahan-bahan bacaan seperti ini harus dimasukkan dalam senarai yang perlu dibaca kerana antara kaedah pembelajaran yang efektif ialah dengan memahami apa yang telah dilalui oleh orang lain lalu memprosesnya supaya sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian insyaAllah.

Mudah-mudahan lebih ramai lagi para pendokong Islam yang sudi berkongsi pengalaman hidup mereka melayari bahtera dakwah dan tarbiyyah dalam kehidupan agar dapat dijadikan teladan bagi golongan yang baru sahaja mula menjinak-jinakkan diri di jalan ini.

p/s: next is “Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai ke Syurga” insyaAllah