Month: July 2010

Munafiq yang Memecahbelahkan

Posted on

Bismillah
3:41PM July 19, 2010

Al-Madinah Al-Munawwarah, yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah sehingga wafatnya baginda, merupakan negara Islam yang pertama yang wujud. Akan tetapi, siapa yang sangka ibukota ini pernah menjadi huru-hara dek kerana fitnah perkauman yang dibawa oleh Abdullah bin Saba’. Pada saat itu Amirul Mukminin, Uthman ibn ‘Affan, khalifah ke-3 dibunuh dengan kejam oleh pembelot-pembelot Islam yang berada di belakang Abdullah bin Saba’. Dan selepas itu keadaan diburukkan lagi apabila Abdullah bin Saba’ ini melagakan Ali RA dan Mu’awwiyah RA, sehingga Ali RA terbunuh.

Begitulah jahatnya puak munafiq yang dipimpin oleh Abdullah bi Saba’ ini. Mereka hidup di kalangan umat Islam dengan tujuan untuk menghancurkan kesatuan umat yang dibina atas dasar iman. Mereka mengapi-apikan idea perkauman di kalangan umat Islam, sehingga terjadinya perang saudara pertama ketika umat Islam di bawah pemerintahan Khalifah Ali RA, Khalifah Ar-Rasyideen yang ke-4 dan yang terakhir.

Kejahatan puak munafiq ini sudah terserlah sejak zaman Rasulullah lagi. Umat Islam tidak sesekali akan lupa bagaimana puak munafiq telah mengudurkan diri daripada perang Badar meninggalkan Rasulullah dan para Sahabat berhadapan dengan musuh Islam. Begitu juga dengan fitnah yang dicampakkan kepada Ummul Mukminin ‘Aisyah RA oleh Abdullah bin Ubai.

Dalam surah Al-Baqarah, Allah telah menceritakan ciri-ciri kejahatan orang munafiq ini bermula daripada ayat 7. Dalam salah satu ayat Allah menyebut:
“Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, …” (Al-Baqarah, 2:9)
Begitu juga dalam hadith Rasulullah, yang menceritakan ciri-ciri golongan munafiq iaitu:

  1. Apabila mereka berjanji, mereka mendustakannnya.
  2. Apabila mereka berbicara, mereka banyak berbohong.
  3. Mereka juga suka memperbesarkan perkara-perkara yang kecil, dan mengadu-domba.

Jelas sekali, ciri-ciri seperti mereka ini akan membawa perpecahan dalam sesebuah komuniti yang bersatu. Mereka meniup rasa benci, hasad dengki dan balas dendam di kalangan orang-orang di sekeliling mereka.

Satu muhasabah untuk diri kita, adakah kita mempunyai salah satu daripada ciri-ciri di atas? Na’udzubillah…