Munakahat

Being Parents

Posted on

Untuk berkahwin itu sudah cukup mencabar,
Untuk mengekalkan perkahwinan itu adalah suatu cabaran yang lain.

Untuk menjadi ibu atau bapa itu sudah pun mencabar,
Untuk menjadi ibu atau bapa yang berjaya itu adalah suatu cabaran yang bertingkat-tingkat.

Ada banyak perkara yang kita tidak mampu untuk menghargai sepenuhnya sehingga kita sendiri merasainya – salah satunya ialah menjadi seorang ibu atau bapa.

Menghargai peranan ibu bapa dalam kehidupan adalah suatu perkara yang perlu diusahakan. Sepertimana kita boleh cinta atau benci kepada seseorang, begitulah hakikatnya perasaan yang perlu dibentuk terhadap ibubapa. Cinta lahir dengan sebab, dan cinta kita kepada ibubapa tidak sepatutnya hanya kerana mereka membesarkan kita dan mencukupkan keperluan kita. Ia sepatutnya lebih daripada itu.

Kini saya sudah bergelar seorang bapa kepada seorang anak lelaki yang comel..alhamdulllah. Cinta seorang ibu atau bapa kepada anaknya tidak perlu dibentuk, ia hadir bahkan sebelum lahirnya anak tersebut ke dunia. Bila sudah merasai sendiri menjadi bapa, tiada apa yang mampu balas segala jasa ibu dan bapa saya.

Apa yang kita nampak, mereka bersusah-payah mencari duit, mengerah tenaga membesarkan, memerah otak memikirkan apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita jarang-jarang nampak, tanpa kehadiran mereka sejak dari awal, kita tidak boleh hidup pon!

Advertisements

332 Hari Sudah Berlalu

Posted on

Bismillah

Sudah 332 hari berlalu sejak saya mengucapkan lafaz qabul dalam upacara akad nikah tahun yang lalu.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Tiada ucapan yang lebih baik untuk diucapkan, kerana sehingga saat ini saya masih lagi diizinkan Allah untuk terus mempertahankan, dan juga memperkuatkan ikatan perkahwinan yang dibina. Mungkin kenyataan di atas agak pelik, terutamanya bagi yang belum berkahwin, tetapi inilah hakikatnya.

Tidak sedikit mereka yang berkahwin, akhirnya bercerai dalam tempoh perkahwinannya belum cukup satu tahun. Apatah lagi, ramai juga yang akhirnya bercerai setelah berkahwin 3-5 tahun. Inilah yang saya risaukan. Kita tidak tahu sama ada kita akan tergolong sama dalam golongan yang sedemikian. Tetapi kita perlu berusaha untuk mengelakkan diri kita daripada termasuk dalam golongan itu.

Alhamdulillah, walaupun banyak perbezaan yang berlaku antara saya dan isteri, banyak kekurangan yang ada pada diri saya dan isteri, kami masih lagi bersama. Tambah-tambah lagi, pada saat ini isteri saya sedang mengandung, saya sebagai suamilah yang paling terasa perbezaan mood yang dihadapi oleh si isteri. Bertambah-tambahlah ujian yang bakal dihadapi oleh kami berdua, dalam menempuh jalan menerima kehadiran orang ketiga dalam keluarga ini.

Keyakinan saya, dalam mengekalkan hubungan suami-isteri ini, ialah perlunya kerjasama antara suami dan isteri. Tidak mungkin ikatan ini dapat dikekalkan jika hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha. Tidak mungkin! Antara perkara yang paling utama ialah komunikasi. Jika ada perkara-perkara yang kita tidak suka, kita berkongsi bersama secara hikmah. Jangan disimpan, kerana nanti perkara itulah yang akan kita jadikan alasan untuk bercerai, atau kahwin lain (bagi suami).

Usia perkahwinan saya masih muda, terlalu sedikit pengalaman berbanding dengan mereka yang sudah berkahwin lama. Apa-apa pun, dalam tempoh yang singkat ini, apa-apa pun boleh berlaku. Jadi jangan ambil ringan usaha untuk sentiasa memperbaiki hubungan antara suami-isteri. Ia tidak mudah, tapi ia juga tidak mustahil untuk dilakukan.

Saya mendoakan agar Allah sentiasa memberikan petunjuk kepada saya dan isteri, agar kami sentiasa mencari jalan penyelesaian atas setiap konflik yang berlaku, juga agar kami sentiasa dapat berkongsi suka dan duka dalam kehidupan di dunia yang singkat ini. Mudah-mudahan Allah membantu untuk mengekalkan jodoh kami hingga ke syura. Ameen.