Muhasabah

Zina Mata (2)

Posted on Updated on

Zina itu sendiri adalah suatu larangan yang besar. Dalam surah Al-Isra’ (17:32), Allah bukan sekadar melarang perbuataan zina, bahkan Allah melarang apa-apa perbuatan yang menjerumus ke arah zina.

Larangan Allah terhadap zina itu adalah hikmah agar keturunan manusia terjaga. Hubungan kelamin itu adalah khusus untuk pasangan suami isteri kerana hubungan itu bukanlah sekadar hubungan fizikal dan emosi, ia sepatutnya hanya berlaku bersama-sama dengan keterikatan dan komitmen yang lain ke arah objektif yang lebih besar.

Realitinya, mereka yang berzina, hubungan tidak kekal lama. Yang sering menjadi mangsa adalah golongan wanita. Sesudah diketahui mengandungkan anak hasil zina, seringkali mereka akan ditinggalkan. Selepas itu barulah menyesal tak sudah, terpaksa menanggung malu sendirian. Bahkan ada yang bertindak nekad menggugurkan, dan yang paling teruk, membunun anak yang tidak berdosa, dengan pelbagai cara.

Demi memelihara kemaluan daripada melakukan zina, Allah telah memperingatkan kita agar jangan mendekati perkara yang boleh membawa kita kepada zina. Antara faktor paling kuat yang boleh membawa kita kepada zina adalah melalui penglihatan.

Zina mata amat mudah berlaku. Sumbernya banyak. Tidak perlu keluar rumah, cukup di kaca TV – sudah ada macam-macam rancangan yang mendedahkan aurat wanita sama ada sedikit atau banyak. Di luar rumah pula, jalan ke mana-mana sahaja pasti akan terjumpa mereka yang mendedahkan aurat.

Zina mata tidaklah pada kita melihat aurat seseorang semata-mata. Ia berlaku apabila pandangan tersebut menyebabkan jiwa bergelora dan fikiran mula melayang seterusnya berfikir yang bukan-bukan. Bak kata pepatah, “Dari mata turun ke hati”. Sebab itu, bagi mengelakkannya berlaku, Allah telah menurunkan peringatan kepada orang-orang beriman agar memelihara pandangan (An-Nur, 24:30).

Larangan Allah itu sangat penting untuk kita akur. Kita rasa macam tidak mungkin kita akan terlibat dalam perzinaan. Jangan terlalu yakin.

Sekiranya kita dihidangkan dengan makanan kegemaran kita yang dimasak dengan cara yang amat sedap dan menghidangkan aroma yang mengiurkan, dengan perut tersangat lapar yang penuh berselera, apakah reaksi kita pada waktu itu?

Macam itu lah lebih kurang gamabran perasaan orang yang sedang berada pada jalan-jalan yang menghampiri zina, apatah lagi orang yang akan berzina. Sukar untuk menahan diri. Hanya mampu berhenti apabila sudah “kenyang”.

Oleh itu, jalan yang paling baik adalah untuk mengelakkan diri terus daripada zina mata. Mereka yang terlibat, sentiasa mempunyai kecenderungan untuk melakukan zina. Ini kerana nafsu manusia tidak akan dapat dipuaskan. Diberi betis, mahu peha. Apabila sudah biasa dengan zina mata, nafsu kata tak cukup puas, mahu yang lebih ‘syok’. Sebelum lebih teruk, lebih baik STOP.

Sekali lagi, jangan terlalu yakin. Kita ini sebenarnya lemah, dan mudah dilemahkan dengan godaan-godaan yang mengiurkan. Apabila ditawarkan keuntungan RM3000 dalam tempoh 2 minggu dengan pelaburan hanya RM1000, jarang kita berfikir panjang, kita terus sambar. Tahu-tahu kena tipu. Itulah dunia. Kita dijanjikan dengan kesenangan sementara, tetapi yang membuat janji itu adalah manusia, manusia yang penipu, mahu songlap duit kita.

Begitulah syaitan, menggoda manusia dengan keseronokkan sementara, sudah mati baru tahu kita ditipu. Pada waktu itu sudah terlambat. Amal yang kita ada, belum tentu boleh bawa kita selamat.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memelihara diri kita sebaiknya.

Advertisements

Ramadhan 1435H

Posted on

Mengikut kalendar Malaysia, umat Islam di sini akan mula menyambut kehadiran Ramadhan 1435H pada 29 Jun iaitu pada hari Ahad. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Ramadhan di Malaysia adalah suatu bulan yang tarikh dan tempohnya telah dijangkakan sejak awal-awal lagi. Pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja-raja hanyalah suatu formaliti.

Ini berbeza dengan hakikat di negara yang mana Muslim adalah minoriti. Di Amerika misalnya, umat Islam menentukan tarikh mula berpuasa sehari dua sebelum tarikhnya selepas menentukan anak bulan Ramadhan sudah hadir atau tidak. Bahkan di sana, umat Islam mula berpuasa pada tarikh yang berbeza-beza berdasarkan ijtihad majlis syuro penduduk setempat. Jadi jangan hairan sekiranya anda datang ke Amerika melihat umat Islam di Washington masih berpuasa, sedangkan di Los Angeles sudah beraya 🙂

Pun begitu, pengalaman saya berpuasa di Amerika sungguh berbeza.

Di Malaysia, Ramadhan belum tiba, tetapi sudah banyak iklan raya muncul di media. Promosi yang pelbagai, daripada baju raya sehingga ke buffet berbuka. Raya itu disambut dengan suasana yang sangat luar biasa. Ada kemungkinan ini adalah kerana business ingin mengambil kesempatan untuk melariskan produk-produk mereka.

Pengalaman saya di Amerika sewaktu musim perayaan agama mereka lebih kurang sama. Yang dibesar-besarkan ialah hadiah (Krismas) dan pada waktu itu business melakukan segala jenis promosi untuk memastikan produk mereka laris.

Sebaliknya, Ramadhan dan Syawal di Amerika ternyata amat berbeza.

Apabila Ramadhan tiba, kami saling berbalas ucapan dengan mendoakan agar kami dapat memanfaatkan Ramadhan sebaik mungkin, lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tarawikh di sana, sekalipun imam memilih surah yang pendek, bacaan imam tersebut sungguh tertil. Tetapi pada kebiasaannya, imam memilih untuk menghabiskan 1 juzu setiap malam. Secara keseluruhannya, isya dan tarawikh mengambil masa dalam 1.5 jam untuk disempurnakan. Saya masih ingat kaki saya menjadi sangat lenguh kerana tidak pernah dilatih untuk beridiri lama.

Apabila Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, imam sering mengingatkan agar merebut peluang terakhir Ramadhan. Tibanya raya, orang Islam berkumpul di dewan yang lebih besar untuk menampung jumlah jamaah yang lebih ramai daripada biasa. Seusai solat, jamuan makan dihidangkan, kemudian ke’hangat’an raya “terhenti” setakat di situ, lebih kurang. Selain daripada aktiviti ziarah, tidak ada yang luar biasa. Tetapi Ramadhan dan raya di sana penuh makna.

Saya mula belajar untuk lebih menghargai Ramadhan sewaktu saya di sana. Mungkin kerana kurangnya perhatian diberikan kepada aktiviti memborong baju raya, mungkin juga kerana tidak lagi memikirkan aktiviti untuk merebut duit raya. Tumpuan pula lebih diberikan kepada memperbaiki dan meningkatkan ibadah.

Suasana dan komuniti di sana berperanan besar dalam membentuk persepsi yang sebenar terhadap Ramadhan. Yang sepatutnya dikejar ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dirindui ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dinanti-nanti ialah Ramadhan.

Syawal itu hari kemenangan. Tapi apa erti kemenangan sekiranya puasa kita sekadar lapar dan dahaga? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita tiada beza dengan hari-hari lainnya? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita gagal mengubah diri kita? Apa erti kemenangan sekiranya kita tidak melipat-gandakan usaha sepanjang berada di dalamnya?

Ramadhan akan datang, kita perlu lebih bersedia menyambutnya.

Being Parents

Posted on

Untuk berkahwin itu sudah cukup mencabar,
Untuk mengekalkan perkahwinan itu adalah suatu cabaran yang lain.

Untuk menjadi ibu atau bapa itu sudah pun mencabar,
Untuk menjadi ibu atau bapa yang berjaya itu adalah suatu cabaran yang bertingkat-tingkat.

Ada banyak perkara yang kita tidak mampu untuk menghargai sepenuhnya sehingga kita sendiri merasainya – salah satunya ialah menjadi seorang ibu atau bapa.

Menghargai peranan ibu bapa dalam kehidupan adalah suatu perkara yang perlu diusahakan. Sepertimana kita boleh cinta atau benci kepada seseorang, begitulah hakikatnya perasaan yang perlu dibentuk terhadap ibubapa. Cinta lahir dengan sebab, dan cinta kita kepada ibubapa tidak sepatutnya hanya kerana mereka membesarkan kita dan mencukupkan keperluan kita. Ia sepatutnya lebih daripada itu.

Kini saya sudah bergelar seorang bapa kepada seorang anak lelaki yang comel..alhamdulllah. Cinta seorang ibu atau bapa kepada anaknya tidak perlu dibentuk, ia hadir bahkan sebelum lahirnya anak tersebut ke dunia. Bila sudah merasai sendiri menjadi bapa, tiada apa yang mampu balas segala jasa ibu dan bapa saya.

Apa yang kita nampak, mereka bersusah-payah mencari duit, mengerah tenaga membesarkan, memerah otak memikirkan apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita jarang-jarang nampak, tanpa kehadiran mereka sejak dari awal, kita tidak boleh hidup pon!

Al-Mulk (67:6-11)

Posted on

Bismillah

وَلِلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّہِمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ‌ۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِيرُ

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. (6)

إِذَآ أُلۡقُواْ فِيہَا سَمِعُواْ لَهَا شَہِيقً۬ا وَهِىَ تَفُورُ

Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak (7)

تَكَادُ تَمَيَّزُ مِنَ ٱلۡغَيۡظِ‌ۖ كُلَّمَآ أُلۡقِىَ فِيہَا فَوۡجٌ۬ سَأَلَهُمۡ خَزَنَتُہَآ أَلَمۡ يَأۡتِكُمۡ نَذِيرٌ۬

Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga Neraka itu kepada mereka: Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)? (8)

قَالُواْ بَلَىٰ قَدۡ جَآءَنَا نَذِيرٌ۬ فَكَذَّبۡنَا وَقُلۡنَا مَا نَزَّلَ ٱللَّهُ مِن شَىۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ۬ كَبِيرٍ۬

Mereka menjawab: Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! (9)

وَقَالُواْ لَوۡ كُنَّا نَسۡمَعُ أَوۡ نَعۡقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ

Dan mereka berkata: Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli Neraka (10)

فَٱعۡتَرَفُواْ بِذَنۢبِہِمۡ فَسُحۡقً۬ا لِّأَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ

Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli Neraka (11)


  • Sesungguhnya Allah tidak akan menghukum seseorang melainkan telah sampai kepadanya seorang utusan yang datang membawa khabar gembira dan peringatan kepada manusia
    • Jika telah sampai peringatan kepada mereka, dan mereka mendengar dan bertindak sesuai dengan peringatan itu, maka berita gembira mengenai nikmat syurga adalah untuknya
    • Jika telah sampai peringatan kepada mereka, tetapi mereka masih tidak mahu mengikutinya, maka tunggulah sehingga azab Allah datang kepadanya
  • Ayat 10 – Telah Allah memberikan peringatan kepada manusia tentang penyelasan mereka yang mengingkari ayat-ayat Allah – di akhirat nanti mereka akan mengakui dosa-dosa mereka kerana telah mendustakan para nabi
    • Mereka yang beriman akan bertindak sesuai dengan peringatan ini
    • Mereka yang ingkar akan berpaling dan menganggapnya seolah-olah mereka tidak akan dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka lakukan di dunia ini – dan mereka tidak mengharapkan akhirat itu akan berlaku (An-Naba’, 78:27)
  • Ayat 11 – Penyesalan di dunia akan memungkinkan manusia untuk kembali mendapat kasih sayang Allah di dunia dan akhirat. Tetapi penyesalan di akhirat, tiada lagi kasih sayang daripada Allah yang akan diberikan kepada mereka yang mendustakan ayat-ayatNya

Rujukan: Tafsir Ibn Katsir


“Ahli Ibadat yang Bermain-Main”

Posted on

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah telah mengatakan: “Bagi orang yang berani dan kuat yang mampu menggerunkan musuh dengan serangannya, perlu berdiri di barisan depan dan berjihad menentang musuh Allah. Tindakan ini lebih utama dari mengerjakan haji, puasa, sedekah dan ibadah sunat yang lain.”

“Bagi tokoh-tokoh agama yang alim dan memahami sunnah, halal haram, kebaikan dan kejahatan, pandai bergaul dengan orang ramai, mengajar dan menasihati dalam bab-bab agama lebih utama baginya dari mengasingkan diri dari orang ramai dan menghabiskan masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan bertasbih semata-mata.”

– dipetik daripada Al-Muntalaq karangan Muhammad Ahmad Ar-Rashid

Astaghfirullah…

Astaghfirullah…

Astaghfirullah…

Terasa seperti menerima tembakan padu menembusi hati yang sudah lama kaku…

Terasa seperti amalan-amalan sebelum ini tidak lain hanyalah membuang masa…

Terasa seperti hidup ini tidak lain hanyalah demi diri sendiri…

Aku bukanlah tokoh agama, bukan juga dalam kalangan alim ulama, tetapi aku mengetahui bahawa diriku mempunyai kelebihan yang macam mana. Selama ini aku sangka bahawa apa yang sering menjadi ibadah harianku, itulah yang terbaik buatku. Ya, aku amat yakin bahawa yang aku lakukan itu sunnah dan boleh membawa diriku dekat padaNya. Akan tetapi, aku terlupa bahawa aku ini siapa.

Seringkali dalam perancangan hidupku, aku mengaturnya mengikut prioriti. Tetapi aku terlupa, bahawa hampir semua yang aku aturkan hanyalah untuk diriku sahaja. Begitu kurang masaku dimanfaatkan untuk orang lain. Begitu kurang ilmuku disampaikan dengan kawan-kawan lain. Begitu kurang kelebihan yang aku ada dikongsikan pada rakan-rakan seperjuanganku. Aku leka dengan diriku.

Astaghfirullah, sungguh tinggal sedikit lagi masaku di bumi US ini. Alangkah hinanya diriku, membiarkan rakan-rakanku melakukan kerja-kerja, dan aku hanya melihatnya sahaja. Ya Allah, besarnya dosa hambamu ini. Ampunilah diriku ya Allah, dan bantulah aku untuk berubah…

Siapakah Allah dalam hidup kita?

Posted on Updated on

Telah diciptakan manusia ini, lelaki dan perempuan, dengan pelbagai rupa yang berbeza tingkah laku, kemahiran dan perwatakan. Disengajakan keadaan itu berlaku supaya manusia cenderung untuk merasakan keperluan menjalinkan hubungan untuk membentuk kerjasama antara satu sama lain supaya sebuah kesatuan dapat dibina. Walaubagaimanapun, sebuah kesatuan itu hanya mampu dibina jika manusia mempunyai sebuah matlamat atau dasar yang sama yang mahu dicapai bersama-sama.

Salah satu hikmah Islam diwahyukan ialah bagi membolehkan umat manusia mempunyai dasar yang sama, walaupun wujud perbezaan latar belakang pendidikan, keturunan, kebudayaan, dan lain-lain. Akan tetapi, tidak semua manusia dapat menerima Islam sebagai satu sistem kehidupan yang praktikal di zaman ini. Lebih kritikal lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang mengaku dirinya Islam dan namanya juga Islam, tetapi menolak untuk mengamalkannya, sama ada sebahagiannya atau kesemuanya.

Islam telah menggariskan satu dasar yang wajib menjadi pegangan semua ‘ahlinya’. Pegangan itulah yang dinamakan aqidah. Aqidah inilah yang, dengan izin-Nya, telah menyatukan Muhajirin dan Ansar selepas hijrah. Aqidah inilah yang, dengan izin-Nya, telah meledakkan kekuatan umat Islam untuk bersatu mempertahankan kesucian Islam daripada dirobek oleh musuh-musuh.

Aqidah ini mempunyai satu tunjang yang sangat kuat yang telah memungkinkan perkara di atas berlaku. Tunjang kepada aqidah ini adalah syahadah iaitu pengakuan, persaksian, penundukan diri dan penerimaan bahawa Allah adalah satu-satunya yang layak disembah dan tiada yang lain yang setanding dengan-Nya, dan Rasulullah SAW adalah penerima, pembawa, pengajar, penyebar dan contoh kepada risalah yang diwahyukan oleh Allah iaitu Islam.

Dalam Islam, Allah adalah segala-galanya seperti yang disebut dalam satu ayat iaitu:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

(Al-An’aam, 6:162)

Hasil daripada pemahaman ayat ini, jelas dinyatakan bahawa kehidupan seorang muslim itu berpaksikan Allah dan seterusnya mengikut contoh tauladan Rasulullah. Dalam erti kata yang lain, segala perbuatan harian seperti makan dan minum, pergaulan dan interaksi, ibadah dan kesemuanya adalah menurut apa yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dan melalui contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang telah diceritakan melalui hadith-hadith sahih.

Dalam mencetuskan penghayatan ayat di atas, perkara yang paling utama untuk diberikan perhatian ialah siapakah Allah dalam hidup kita? Di manakah kita meletakkan Allah dalam penilaian hidup kita? Apakah kita terlebih dahulu mengambil kira perintah dan larangan Allah dalam setiap perbuatan kita?

Sebelum kita betul-betul mampu untuk menggerakkan sebuah kesatuan, persoalan-persoalan ini perlu dijelaskan dan difahamkan dengan sebaiknya. Hanya dengan kekuatan yang bertunjangkan aqidah yang saleem (sejahtera) sahaja yang mampu menggerakkan seseorang untuk mengamalkan Islam secara total dan membentuk sebuah kesatuan yang kukuh untuk menghadapi cabaran yang kuat dan mencengkam pada masa hadapan.

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)..

(Ibrahim, 14:24-25)

Allahua’lam…

Eid Mubarak!

Posted on

Salam Aidiladha

Hulurkan tangan, ringankan beban

Ingatlah orang yang hidup dalam kekurangan

Semoga Aidiladha membantu kita menanam semangat berkorban