Month: May 2014

Ramadhan 1435H

Posted on

Mengikut kalendar Malaysia, umat Islam di sini akan mula menyambut kehadiran Ramadhan 1435H pada 29 Jun iaitu pada hari Ahad. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Ramadhan di Malaysia adalah suatu bulan yang tarikh dan tempohnya telah dijangkakan sejak awal-awal lagi. Pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja-raja hanyalah suatu formaliti.

Ini berbeza dengan hakikat di negara yang mana Muslim adalah minoriti. Di Amerika misalnya, umat Islam menentukan tarikh mula berpuasa sehari dua sebelum tarikhnya selepas menentukan anak bulan Ramadhan sudah hadir atau tidak. Bahkan di sana, umat Islam mula berpuasa pada tarikh yang berbeza-beza berdasarkan ijtihad majlis syuro penduduk setempat. Jadi jangan hairan sekiranya anda datang ke Amerika melihat umat Islam di Washington masih berpuasa, sedangkan di Los Angeles sudah beraya 🙂

Pun begitu, pengalaman saya berpuasa di Amerika sungguh berbeza.

Di Malaysia, Ramadhan belum tiba, tetapi sudah banyak iklan raya muncul di media. Promosi yang pelbagai, daripada baju raya sehingga ke buffet berbuka. Raya itu disambut dengan suasana yang sangat luar biasa. Ada kemungkinan ini adalah kerana business ingin mengambil kesempatan untuk melariskan produk-produk mereka.

Pengalaman saya di Amerika sewaktu musim perayaan agama mereka lebih kurang sama. Yang dibesar-besarkan ialah hadiah (Krismas) dan pada waktu itu business melakukan segala jenis promosi untuk memastikan produk mereka laris.

Sebaliknya, Ramadhan dan Syawal di Amerika ternyata amat berbeza.

Apabila Ramadhan tiba, kami saling berbalas ucapan dengan mendoakan agar kami dapat memanfaatkan Ramadhan sebaik mungkin, lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tarawikh di sana, sekalipun imam memilih surah yang pendek, bacaan imam tersebut sungguh tertil. Tetapi pada kebiasaannya, imam memilih untuk menghabiskan 1 juzu setiap malam. Secara keseluruhannya, isya dan tarawikh mengambil masa dalam 1.5 jam untuk disempurnakan. Saya masih ingat kaki saya menjadi sangat lenguh kerana tidak pernah dilatih untuk beridiri lama.

Apabila Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, imam sering mengingatkan agar merebut peluang terakhir Ramadhan. Tibanya raya, orang Islam berkumpul di dewan yang lebih besar untuk menampung jumlah jamaah yang lebih ramai daripada biasa. Seusai solat, jamuan makan dihidangkan, kemudian ke’hangat’an raya “terhenti” setakat di situ, lebih kurang. Selain daripada aktiviti ziarah, tidak ada yang luar biasa. Tetapi Ramadhan dan raya di sana penuh makna.

Saya mula belajar untuk lebih menghargai Ramadhan sewaktu saya di sana. Mungkin kerana kurangnya perhatian diberikan kepada aktiviti memborong baju raya, mungkin juga kerana tidak lagi memikirkan aktiviti untuk merebut duit raya. Tumpuan pula lebih diberikan kepada memperbaiki dan meningkatkan ibadah.

Suasana dan komuniti di sana berperanan besar dalam membentuk persepsi yang sebenar terhadap Ramadhan. Yang sepatutnya dikejar ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dirindui ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dinanti-nanti ialah Ramadhan.

Syawal itu hari kemenangan. Tapi apa erti kemenangan sekiranya puasa kita sekadar lapar dan dahaga? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita tiada beza dengan hari-hari lainnya? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita gagal mengubah diri kita? Apa erti kemenangan sekiranya kita tidak melipat-gandakan usaha sepanjang berada di dalamnya?

Ramadhan akan datang, kita perlu lebih bersedia menyambutnya.

Advertisements

Being Parents

Posted on

Untuk berkahwin itu sudah cukup mencabar,
Untuk mengekalkan perkahwinan itu adalah suatu cabaran yang lain.

Untuk menjadi ibu atau bapa itu sudah pun mencabar,
Untuk menjadi ibu atau bapa yang berjaya itu adalah suatu cabaran yang bertingkat-tingkat.

Ada banyak perkara yang kita tidak mampu untuk menghargai sepenuhnya sehingga kita sendiri merasainya – salah satunya ialah menjadi seorang ibu atau bapa.

Menghargai peranan ibu bapa dalam kehidupan adalah suatu perkara yang perlu diusahakan. Sepertimana kita boleh cinta atau benci kepada seseorang, begitulah hakikatnya perasaan yang perlu dibentuk terhadap ibubapa. Cinta lahir dengan sebab, dan cinta kita kepada ibubapa tidak sepatutnya hanya kerana mereka membesarkan kita dan mencukupkan keperluan kita. Ia sepatutnya lebih daripada itu.

Kini saya sudah bergelar seorang bapa kepada seorang anak lelaki yang comel..alhamdulllah. Cinta seorang ibu atau bapa kepada anaknya tidak perlu dibentuk, ia hadir bahkan sebelum lahirnya anak tersebut ke dunia. Bila sudah merasai sendiri menjadi bapa, tiada apa yang mampu balas segala jasa ibu dan bapa saya.

Apa yang kita nampak, mereka bersusah-payah mencari duit, mengerah tenaga membesarkan, memerah otak memikirkan apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita jarang-jarang nampak, tanpa kehadiran mereka sejak dari awal, kita tidak boleh hidup pon!