Zina Mata (2)

Posted on Updated on

Zina itu sendiri adalah suatu larangan yang besar. Dalam surah Al-Isra’ (17:32), Allah bukan sekadar melarang perbuataan zina, bahkan Allah melarang apa-apa perbuatan yang menjerumus ke arah zina.

Larangan Allah terhadap zina itu adalah hikmah agar keturunan manusia terjaga. Hubungan kelamin itu adalah khusus untuk pasangan suami isteri kerana hubungan itu bukanlah sekadar hubungan fizikal dan emosi, ia sepatutnya hanya berlaku bersama-sama dengan keterikatan dan komitmen yang lain ke arah objektif yang lebih besar.

Realitinya, mereka yang berzina, hubungan tidak kekal lama. Yang sering menjadi mangsa adalah golongan wanita. Sesudah diketahui mengandungkan anak hasil zina, seringkali mereka akan ditinggalkan. Selepas itu barulah menyesal tak sudah, terpaksa menanggung malu sendirian. Bahkan ada yang bertindak nekad menggugurkan, dan yang paling teruk, membunun anak yang tidak berdosa, dengan pelbagai cara.

Demi memelihara kemaluan daripada melakukan zina, Allah telah memperingatkan kita agar jangan mendekati perkara yang boleh membawa kita kepada zina. Antara faktor paling kuat yang boleh membawa kita kepada zina adalah melalui penglihatan.

Zina mata amat mudah berlaku. Sumbernya banyak. Tidak perlu keluar rumah, cukup di kaca TV – sudah ada macam-macam rancangan yang mendedahkan aurat wanita sama ada sedikit atau banyak. Di luar rumah pula, jalan ke mana-mana sahaja pasti akan terjumpa mereka yang mendedahkan aurat.

Zina mata tidaklah pada kita melihat aurat seseorang semata-mata. Ia berlaku apabila pandangan tersebut menyebabkan jiwa bergelora dan fikiran mula melayang seterusnya berfikir yang bukan-bukan. Bak kata pepatah, “Dari mata turun ke hati”. Sebab itu, bagi mengelakkannya berlaku, Allah telah menurunkan peringatan kepada orang-orang beriman agar memelihara pandangan (An-Nur, 24:30).

Larangan Allah itu sangat penting untuk kita akur. Kita rasa macam tidak mungkin kita akan terlibat dalam perzinaan. Jangan terlalu yakin.

Sekiranya kita dihidangkan dengan makanan kegemaran kita yang dimasak dengan cara yang amat sedap dan menghidangkan aroma yang mengiurkan, dengan perut tersangat lapar yang penuh berselera, apakah reaksi kita pada waktu itu?

Macam itu lah lebih kurang gamabran perasaan orang yang sedang berada pada jalan-jalan yang menghampiri zina, apatah lagi orang yang akan berzina. Sukar untuk menahan diri. Hanya mampu berhenti apabila sudah “kenyang”.

Oleh itu, jalan yang paling baik adalah untuk mengelakkan diri terus daripada zina mata. Mereka yang terlibat, sentiasa mempunyai kecenderungan untuk melakukan zina. Ini kerana nafsu manusia tidak akan dapat dipuaskan. Diberi betis, mahu peha. Apabila sudah biasa dengan zina mata, nafsu kata tak cukup puas, mahu yang lebih ‘syok’. Sebelum lebih teruk, lebih baik STOP.

Sekali lagi, jangan terlalu yakin. Kita ini sebenarnya lemah, dan mudah dilemahkan dengan godaan-godaan yang mengiurkan. Apabila ditawarkan keuntungan RM3000 dalam tempoh 2 minggu dengan pelaburan hanya RM1000, jarang kita berfikir panjang, kita terus sambar. Tahu-tahu kena tipu. Itulah dunia. Kita dijanjikan dengan kesenangan sementara, tetapi yang membuat janji itu adalah manusia, manusia yang penipu, mahu songlap duit kita.

Begitulah syaitan, menggoda manusia dengan keseronokkan sementara, sudah mati baru tahu kita ditipu. Pada waktu itu sudah terlambat. Amal yang kita ada, belum tentu boleh bawa kita selamat.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memelihara diri kita sebaiknya.

As-Siddiq

Posted on Updated on

Siapa yang tidak biasa dengan perkataan As-Siddiq?

Sebut sahaja As-Siddiq, minda kita secara pantas memikirkan tentang seorang sahabat Nabi yang agung, Saiyidina Abu Bakr RA. Kisah kehebatan beliau banyak diceritakan dalam kitab-kitab yang masyhur yang ditulis oleh pelbagai ulama berzaman-zaman. Sedutan kehidupan beliau banyak yang boleh dipelajari oleh generasi-generasi kini dan mendatang.

Beliau bukan secara tiba-tiba menjadi sahabat yang paling rapat dengan Nabi.
Beliau bukan secara tiba-tiba boleh membenarkan kata-kata Nabi selepas peristiwa Isra’ Mi’raj.
Beliau bukan secara tiba-tiba dipilih oleh Nabi sebagai peneman ketika peristiwa hijrah ke Madinah Al-Munauwarah.
Beliau bukan secara tiba-tiba dilantik oleh para sahabat yang lain sebagai pengganti Nabi untuk memimpin umat Islam sesudah kewafatan Nabi.

Beliau telah bersahabat dengan Baginda sebelum kerasulan lagi. Apabila Baginda diangkat menjadi Rasul, beliau adalah antara assabiqun alawwalun dan telah menyerahkan dirinya secara keseluruhannya untuk Islam.

Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, beliaulah yang membenarkan kata-kata Nabi dan mempercayainya tanpa soal. Gelaran as-Siddiq yang diberikan kepada beliau ini bukanlah semata-mata kerana beliau membenarkan kata-kata Nabi, malah ia lebih daripada itu.

As-Siddiq dari satu sudut memberikan gambaran bahawa pemegang gelaran ini adalah orang yang sentiasa bercakap benar. Sifat sebagai as-Siddiq ini adalah sifat yang mana apa yang dipercayai dalam hatinya adalah sama dengan apa yang dilakukannya. Dalam erti kata lain, apabila Abu Bakr RA membenarkan kata-kata Nabi dalam peristiwa isra’ mi’raj, beliau membenarkan tanpa ada se-zarah keraguan pun dalam hatinya.

Dalam peristiwa perang Tabuk, Abu Bakr RA telah menyerahkan seluruh hartanya untuk persiapan peperangan. Lalu Rasulullah telah bertanya kepadanya, “Apa yang kamu tinggalkan untuk dirimu dan keluargamu?”. Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya”, dan sesungguhnya kepercayaan yang beliau ucapkan itulah selari dengan imannya yang sangat yakin bahawa Allah akan membantunya mencukupkan keperluan diri dan keluarganya.

Tiada keraguan pada imannya, tiada keraguan pada amalnya.
Apa yang diucapkan atau dilakukan, itu adalah benar-benar terjemahan imannya.
Apa yang betul-betul dicintainya, itulah yang benar-benar yang dikejarnya.
Tiada langsung perbezaan antara apa yang diimaninya dan apa yang dimalkannya.
Itulah As-Siddiq.

Ramadhan 1435H

Posted on

Mengikut kalendar Malaysia, umat Islam di sini akan mula menyambut kehadiran Ramadhan 1435H pada 29 Jun iaitu pada hari Ahad. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Ramadhan di Malaysia adalah suatu bulan yang tarikh dan tempohnya telah dijangkakan sejak awal-awal lagi. Pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja-raja hanyalah suatu formaliti.

Ini berbeza dengan hakikat di negara yang mana Muslim adalah minoriti. Di Amerika misalnya, umat Islam menentukan tarikh mula berpuasa sehari dua sebelum tarikhnya selepas menentukan anak bulan Ramadhan sudah hadir atau tidak. Bahkan di sana, umat Islam mula berpuasa pada tarikh yang berbeza-beza berdasarkan ijtihad majlis syuro penduduk setempat. Jadi jangan hairan sekiranya anda datang ke Amerika melihat umat Islam di Washington masih berpuasa, sedangkan di Los Angeles sudah beraya 🙂

Pun begitu, pengalaman saya berpuasa di Amerika sungguh berbeza.

Di Malaysia, Ramadhan belum tiba, tetapi sudah banyak iklan raya muncul di media. Promosi yang pelbagai, daripada baju raya sehingga ke buffet berbuka. Raya itu disambut dengan suasana yang sangat luar biasa. Ada kemungkinan ini adalah kerana business ingin mengambil kesempatan untuk melariskan produk-produk mereka.

Pengalaman saya di Amerika sewaktu musim perayaan agama mereka lebih kurang sama. Yang dibesar-besarkan ialah hadiah (Krismas) dan pada waktu itu business melakukan segala jenis promosi untuk memastikan produk mereka laris.

Sebaliknya, Ramadhan dan Syawal di Amerika ternyata amat berbeza.

Apabila Ramadhan tiba, kami saling berbalas ucapan dengan mendoakan agar kami dapat memanfaatkan Ramadhan sebaik mungkin, lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tarawikh di sana, sekalipun imam memilih surah yang pendek, bacaan imam tersebut sungguh tertil. Tetapi pada kebiasaannya, imam memilih untuk menghabiskan 1 juzu setiap malam. Secara keseluruhannya, isya dan tarawikh mengambil masa dalam 1.5 jam untuk disempurnakan. Saya masih ingat kaki saya menjadi sangat lenguh kerana tidak pernah dilatih untuk beridiri lama.

Apabila Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, imam sering mengingatkan agar merebut peluang terakhir Ramadhan. Tibanya raya, orang Islam berkumpul di dewan yang lebih besar untuk menampung jumlah jamaah yang lebih ramai daripada biasa. Seusai solat, jamuan makan dihidangkan, kemudian ke’hangat’an raya “terhenti” setakat di situ, lebih kurang. Selain daripada aktiviti ziarah, tidak ada yang luar biasa. Tetapi Ramadhan dan raya di sana penuh makna.

Saya mula belajar untuk lebih menghargai Ramadhan sewaktu saya di sana. Mungkin kerana kurangnya perhatian diberikan kepada aktiviti memborong baju raya, mungkin juga kerana tidak lagi memikirkan aktiviti untuk merebut duit raya. Tumpuan pula lebih diberikan kepada memperbaiki dan meningkatkan ibadah.

Suasana dan komuniti di sana berperanan besar dalam membentuk persepsi yang sebenar terhadap Ramadhan. Yang sepatutnya dikejar ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dirindui ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dinanti-nanti ialah Ramadhan.

Syawal itu hari kemenangan. Tapi apa erti kemenangan sekiranya puasa kita sekadar lapar dan dahaga? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita tiada beza dengan hari-hari lainnya? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita gagal mengubah diri kita? Apa erti kemenangan sekiranya kita tidak melipat-gandakan usaha sepanjang berada di dalamnya?

Ramadhan akan datang, kita perlu lebih bersedia menyambutnya.

Being Parents

Posted on

Untuk berkahwin itu sudah cukup mencabar,
Untuk mengekalkan perkahwinan itu adalah suatu cabaran yang lain.

Untuk menjadi ibu atau bapa itu sudah pun mencabar,
Untuk menjadi ibu atau bapa yang berjaya itu adalah suatu cabaran yang bertingkat-tingkat.

Ada banyak perkara yang kita tidak mampu untuk menghargai sepenuhnya sehingga kita sendiri merasainya – salah satunya ialah menjadi seorang ibu atau bapa.

Menghargai peranan ibu bapa dalam kehidupan adalah suatu perkara yang perlu diusahakan. Sepertimana kita boleh cinta atau benci kepada seseorang, begitulah hakikatnya perasaan yang perlu dibentuk terhadap ibubapa. Cinta lahir dengan sebab, dan cinta kita kepada ibubapa tidak sepatutnya hanya kerana mereka membesarkan kita dan mencukupkan keperluan kita. Ia sepatutnya lebih daripada itu.

Kini saya sudah bergelar seorang bapa kepada seorang anak lelaki yang comel..alhamdulllah. Cinta seorang ibu atau bapa kepada anaknya tidak perlu dibentuk, ia hadir bahkan sebelum lahirnya anak tersebut ke dunia. Bila sudah merasai sendiri menjadi bapa, tiada apa yang mampu balas segala jasa ibu dan bapa saya.

Apa yang kita nampak, mereka bersusah-payah mencari duit, mengerah tenaga membesarkan, memerah otak memikirkan apa yang terbaik untuk kita. Apa yang kita jarang-jarang nampak, tanpa kehadiran mereka sejak dari awal, kita tidak boleh hidup pon!

Yulia Tymoshenko

Posted on

Nama Yulia Tymoshenko adalah sangat asing dalam hidup saya. Tidak pernah didengari, apatah dikenali orang ini, tetapi namanya sangat popular pada saat ini. Kisahnya digembar-gemburkan dengan hebat sempena kedatangan EURO 2012 ketika ini.

Baca di sini untuk sedikit latar belakang beliau: http://en.wikipedia.org/wiki/Yulia_Tymoshenko

Apabila disoroti perjalanan politik beliau, saya teringat kepada seseorang. Jalan cerita mereka berdua hampir sama, mereka dihukum atas kesalahan yang sama, tujuan mereka dihukum juga sama: untuk membunuh kareer politik mereka.

Sudah tentu di negara Ukraine, perkara yang sama kita akan dapati. Pasti ada sahaja mereka yang menyokong dan menentang beliau. Pasti ada sahaja usaha daripada puak yang ingin menjatuhkan beliau, cuba mencari apa sahaja jalan, asalkan beliau berjaya dihukum melalui saluran undang-undang.

Seperti yang dijangka, dalam kalangan rakyat Ukraine, ada yang bijak menganalisis situasi semasa, ada juga yang bodoh yang menerima apa sahaja yang disuapkan. Ada juga yang bijak yang memanipulasi keadaan, ada juga yang bodoh yang menjadi bahan untuk dimanipulasikan. Ada yang bijak yang mengambil kesempatan, ada yang bodoh yang jatuh ke dalam perangkap.

Yang pasti selamat adalah orang yang berusaha mencari ilmu, dan berdiri atas prinsip kebenaran. Biarpun disuap dengan pelbagai cerita, dihidangkan dengan pelbagai upacara, disajikan dengan pelbagai hadiah, golongan ini akan tetap menerima apa yang benar sekalipun ia datang daripada pihak lawan, dan menolak apa yang salah sekalipun ia datang daripada pihak kawan.

Mustahil kebatilan akan berkuasa untuk selama-lamanya. Yang haq tetap akan kembali semula.

332 Hari Sudah Berlalu

Posted on

Bismillah

Sudah 332 hari berlalu sejak saya mengucapkan lafaz qabul dalam upacara akad nikah tahun yang lalu.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Tiada ucapan yang lebih baik untuk diucapkan, kerana sehingga saat ini saya masih lagi diizinkan Allah untuk terus mempertahankan, dan juga memperkuatkan ikatan perkahwinan yang dibina. Mungkin kenyataan di atas agak pelik, terutamanya bagi yang belum berkahwin, tetapi inilah hakikatnya.

Tidak sedikit mereka yang berkahwin, akhirnya bercerai dalam tempoh perkahwinannya belum cukup satu tahun. Apatah lagi, ramai juga yang akhirnya bercerai setelah berkahwin 3-5 tahun. Inilah yang saya risaukan. Kita tidak tahu sama ada kita akan tergolong sama dalam golongan yang sedemikian. Tetapi kita perlu berusaha untuk mengelakkan diri kita daripada termasuk dalam golongan itu.

Alhamdulillah, walaupun banyak perbezaan yang berlaku antara saya dan isteri, banyak kekurangan yang ada pada diri saya dan isteri, kami masih lagi bersama. Tambah-tambah lagi, pada saat ini isteri saya sedang mengandung, saya sebagai suamilah yang paling terasa perbezaan mood yang dihadapi oleh si isteri. Bertambah-tambahlah ujian yang bakal dihadapi oleh kami berdua, dalam menempuh jalan menerima kehadiran orang ketiga dalam keluarga ini.

Keyakinan saya, dalam mengekalkan hubungan suami-isteri ini, ialah perlunya kerjasama antara suami dan isteri. Tidak mungkin ikatan ini dapat dikekalkan jika hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha. Tidak mungkin! Antara perkara yang paling utama ialah komunikasi. Jika ada perkara-perkara yang kita tidak suka, kita berkongsi bersama secara hikmah. Jangan disimpan, kerana nanti perkara itulah yang akan kita jadikan alasan untuk bercerai, atau kahwin lain (bagi suami).

Usia perkahwinan saya masih muda, terlalu sedikit pengalaman berbanding dengan mereka yang sudah berkahwin lama. Apa-apa pun, dalam tempoh yang singkat ini, apa-apa pun boleh berlaku. Jadi jangan ambil ringan usaha untuk sentiasa memperbaiki hubungan antara suami-isteri. Ia tidak mudah, tapi ia juga tidak mustahil untuk dilakukan.

Saya mendoakan agar Allah sentiasa memberikan petunjuk kepada saya dan isteri, agar kami sentiasa mencari jalan penyelesaian atas setiap konflik yang berlaku, juga agar kami sentiasa dapat berkongsi suka dan duka dalam kehidupan di dunia yang singkat ini. Mudah-mudahan Allah membantu untuk mengekalkan jodoh kami hingga ke syura. Ameen.

139 Hari…

Posted on

Bismillah…

Sudah lama tidak menulis di blog ini. Barangkali kurangnya kekuatan untuk menulis sesuatu yang bermanfaat untuk semua yang membaca blog ini…

Alhamdulillah, sudah 139 hari sejak saya melafazkan “Aku terima nikahnya…”. Sejak mula mendirikan rumah tangga, alhamdulillah…sedikit sebanyak pengalaman berjaya diperoleh. Namun perjalanannya masih jauh.

Memang betul, perkahwinan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan bagi mereka yang berada di luar san, yang mengharapkan perkahwinan dapat menyelesaikan masalahnya terhadap kecenderungan untuk berzina, ketahuilah bahawa bila berkahwin, beribu-ribu lagi cabaran yang akan dilalui, bahkan ada yang lebih hebat daripada cabaran untuk berzina itu sendiri.

Perkahwinan ini penuh dengan tanggungjawab. Selaku suami, saya sangat-sangat terasa bahawa masa depan keluarga yang saya ingin bina betul-betul terletak kepada semua keputusan yang saya ambil, baik perkara yang kecil mahupun perkara yang besar. Tanggungjawab seperti inilah yang membuatkan saya berfikir banyak kali, “ke arah mana yang saya ingin tujui?”.

Saya teramat yakin, ramai yang mengimpikan untuk mempunyai keluarga yang bahagia yang dicerikan dengan anak-anak yang soleh wa musleh. Ramai yang berusaha untuk menuju ke arahnya, tetapi tidak semua yang berjaya. Mengapa? Banyak faktor yang mempengaruhi. Yang pasti, faktor utamanya adalah melibatkan diri orang yang membinanya.

Allahua’lam…pengalaman saya dalam bab rumahtangga masih terlalu cetek jika mahu dibandingkan dengan mereka yang sudah berkahwin 10, 20 bahkan 30 tahun dan seterusnya. Semoga rumahtangga yang saya cuba bina ini dirahmati oleh Allah…

Antara perkara yang saya rasa sejak saya berkahwin ini ialah saya tidak mahu melihat keluarga saya hidup susah, baik dari sudut material mahupun dari sudut spiritual. Yang penting, saya perlu tanamkan pada diri saya, “kejarlah akhirat, nescaya kamu akan memperolehi kedua-duanya (dunia dan akhirat)”.