Dakwah & Tarbiyah

Zina Mata (2)

Posted on Updated on

Zina itu sendiri adalah suatu larangan yang besar. Dalam surah Al-Isra’ (17:32), Allah bukan sekadar melarang perbuataan zina, bahkan Allah melarang apa-apa perbuatan yang menjerumus ke arah zina.

Larangan Allah terhadap zina itu adalah hikmah agar keturunan manusia terjaga. Hubungan kelamin itu adalah khusus untuk pasangan suami isteri kerana hubungan itu bukanlah sekadar hubungan fizikal dan emosi, ia sepatutnya hanya berlaku bersama-sama dengan keterikatan dan komitmen yang lain ke arah objektif yang lebih besar.

Realitinya, mereka yang berzina, hubungan tidak kekal lama. Yang sering menjadi mangsa adalah golongan wanita. Sesudah diketahui mengandungkan anak hasil zina, seringkali mereka akan ditinggalkan. Selepas itu barulah menyesal tak sudah, terpaksa menanggung malu sendirian. Bahkan ada yang bertindak nekad menggugurkan, dan yang paling teruk, membunun anak yang tidak berdosa, dengan pelbagai cara.

Demi memelihara kemaluan daripada melakukan zina, Allah telah memperingatkan kita agar jangan mendekati perkara yang boleh membawa kita kepada zina. Antara faktor paling kuat yang boleh membawa kita kepada zina adalah melalui penglihatan.

Zina mata amat mudah berlaku. Sumbernya banyak. Tidak perlu keluar rumah, cukup di kaca TV – sudah ada macam-macam rancangan yang mendedahkan aurat wanita sama ada sedikit atau banyak. Di luar rumah pula, jalan ke mana-mana sahaja pasti akan terjumpa mereka yang mendedahkan aurat.

Zina mata tidaklah pada kita melihat aurat seseorang semata-mata. Ia berlaku apabila pandangan tersebut menyebabkan jiwa bergelora dan fikiran mula melayang seterusnya berfikir yang bukan-bukan. Bak kata pepatah, “Dari mata turun ke hati”. Sebab itu, bagi mengelakkannya berlaku, Allah telah menurunkan peringatan kepada orang-orang beriman agar memelihara pandangan (An-Nur, 24:30).

Larangan Allah itu sangat penting untuk kita akur. Kita rasa macam tidak mungkin kita akan terlibat dalam perzinaan. Jangan terlalu yakin.

Sekiranya kita dihidangkan dengan makanan kegemaran kita yang dimasak dengan cara yang amat sedap dan menghidangkan aroma yang mengiurkan, dengan perut tersangat lapar yang penuh berselera, apakah reaksi kita pada waktu itu?

Macam itu lah lebih kurang gamabran perasaan orang yang sedang berada pada jalan-jalan yang menghampiri zina, apatah lagi orang yang akan berzina. Sukar untuk menahan diri. Hanya mampu berhenti apabila sudah “kenyang”.

Oleh itu, jalan yang paling baik adalah untuk mengelakkan diri terus daripada zina mata. Mereka yang terlibat, sentiasa mempunyai kecenderungan untuk melakukan zina. Ini kerana nafsu manusia tidak akan dapat dipuaskan. Diberi betis, mahu peha. Apabila sudah biasa dengan zina mata, nafsu kata tak cukup puas, mahu yang lebih ‘syok’. Sebelum lebih teruk, lebih baik STOP.

Sekali lagi, jangan terlalu yakin. Kita ini sebenarnya lemah, dan mudah dilemahkan dengan godaan-godaan yang mengiurkan. Apabila ditawarkan keuntungan RM3000 dalam tempoh 2 minggu dengan pelaburan hanya RM1000, jarang kita berfikir panjang, kita terus sambar. Tahu-tahu kena tipu. Itulah dunia. Kita dijanjikan dengan kesenangan sementara, tetapi yang membuat janji itu adalah manusia, manusia yang penipu, mahu songlap duit kita.

Begitulah syaitan, menggoda manusia dengan keseronokkan sementara, sudah mati baru tahu kita ditipu. Pada waktu itu sudah terlambat. Amal yang kita ada, belum tentu boleh bawa kita selamat.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memelihara diri kita sebaiknya.

As-Siddiq

Posted on Updated on

Siapa yang tidak biasa dengan perkataan As-Siddiq?

Sebut sahaja As-Siddiq, minda kita secara pantas memikirkan tentang seorang sahabat Nabi yang agung, Saiyidina Abu Bakr RA. Kisah kehebatan beliau banyak diceritakan dalam kitab-kitab yang masyhur yang ditulis oleh pelbagai ulama berzaman-zaman. Sedutan kehidupan beliau banyak yang boleh dipelajari oleh generasi-generasi kini dan mendatang.

Beliau bukan secara tiba-tiba menjadi sahabat yang paling rapat dengan Nabi.
Beliau bukan secara tiba-tiba boleh membenarkan kata-kata Nabi selepas peristiwa Isra’ Mi’raj.
Beliau bukan secara tiba-tiba dipilih oleh Nabi sebagai peneman ketika peristiwa hijrah ke Madinah Al-Munauwarah.
Beliau bukan secara tiba-tiba dilantik oleh para sahabat yang lain sebagai pengganti Nabi untuk memimpin umat Islam sesudah kewafatan Nabi.

Beliau telah bersahabat dengan Baginda sebelum kerasulan lagi. Apabila Baginda diangkat menjadi Rasul, beliau adalah antara assabiqun alawwalun dan telah menyerahkan dirinya secara keseluruhannya untuk Islam.

Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, beliaulah yang membenarkan kata-kata Nabi dan mempercayainya tanpa soal. Gelaran as-Siddiq yang diberikan kepada beliau ini bukanlah semata-mata kerana beliau membenarkan kata-kata Nabi, malah ia lebih daripada itu.

As-Siddiq dari satu sudut memberikan gambaran bahawa pemegang gelaran ini adalah orang yang sentiasa bercakap benar. Sifat sebagai as-Siddiq ini adalah sifat yang mana apa yang dipercayai dalam hatinya adalah sama dengan apa yang dilakukannya. Dalam erti kata lain, apabila Abu Bakr RA membenarkan kata-kata Nabi dalam peristiwa isra’ mi’raj, beliau membenarkan tanpa ada se-zarah keraguan pun dalam hatinya.

Dalam peristiwa perang Tabuk, Abu Bakr RA telah menyerahkan seluruh hartanya untuk persiapan peperangan. Lalu Rasulullah telah bertanya kepadanya, “Apa yang kamu tinggalkan untuk dirimu dan keluargamu?”. Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya”, dan sesungguhnya kepercayaan yang beliau ucapkan itulah selari dengan imannya yang sangat yakin bahawa Allah akan membantunya mencukupkan keperluan diri dan keluarganya.

Tiada keraguan pada imannya, tiada keraguan pada amalnya.
Apa yang diucapkan atau dilakukan, itu adalah benar-benar terjemahan imannya.
Apa yang betul-betul dicintainya, itulah yang benar-benar yang dikejarnya.
Tiada langsung perbezaan antara apa yang diimaninya dan apa yang dimalkannya.
Itulah As-Siddiq.

Ramadhan 1435H

Posted on

Mengikut kalendar Malaysia, umat Islam di sini akan mula menyambut kehadiran Ramadhan 1435H pada 29 Jun iaitu pada hari Ahad. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, Ramadhan di Malaysia adalah suatu bulan yang tarikh dan tempohnya telah dijangkakan sejak awal-awal lagi. Pengumuman oleh penyimpan mohor besar raja-raja hanyalah suatu formaliti.

Ini berbeza dengan hakikat di negara yang mana Muslim adalah minoriti. Di Amerika misalnya, umat Islam menentukan tarikh mula berpuasa sehari dua sebelum tarikhnya selepas menentukan anak bulan Ramadhan sudah hadir atau tidak. Bahkan di sana, umat Islam mula berpuasa pada tarikh yang berbeza-beza berdasarkan ijtihad majlis syuro penduduk setempat. Jadi jangan hairan sekiranya anda datang ke Amerika melihat umat Islam di Washington masih berpuasa, sedangkan di Los Angeles sudah beraya 🙂

Pun begitu, pengalaman saya berpuasa di Amerika sungguh berbeza.

Di Malaysia, Ramadhan belum tiba, tetapi sudah banyak iklan raya muncul di media. Promosi yang pelbagai, daripada baju raya sehingga ke buffet berbuka. Raya itu disambut dengan suasana yang sangat luar biasa. Ada kemungkinan ini adalah kerana business ingin mengambil kesempatan untuk melariskan produk-produk mereka.

Pengalaman saya di Amerika sewaktu musim perayaan agama mereka lebih kurang sama. Yang dibesar-besarkan ialah hadiah (Krismas) dan pada waktu itu business melakukan segala jenis promosi untuk memastikan produk mereka laris.

Sebaliknya, Ramadhan dan Syawal di Amerika ternyata amat berbeza.

Apabila Ramadhan tiba, kami saling berbalas ucapan dengan mendoakan agar kami dapat memanfaatkan Ramadhan sebaik mungkin, lebih baik daripada tahun sebelumnya. Tarawikh di sana, sekalipun imam memilih surah yang pendek, bacaan imam tersebut sungguh tertil. Tetapi pada kebiasaannya, imam memilih untuk menghabiskan 1 juzu setiap malam. Secara keseluruhannya, isya dan tarawikh mengambil masa dalam 1.5 jam untuk disempurnakan. Saya masih ingat kaki saya menjadi sangat lenguh kerana tidak pernah dilatih untuk beridiri lama.

Apabila Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya, imam sering mengingatkan agar merebut peluang terakhir Ramadhan. Tibanya raya, orang Islam berkumpul di dewan yang lebih besar untuk menampung jumlah jamaah yang lebih ramai daripada biasa. Seusai solat, jamuan makan dihidangkan, kemudian ke’hangat’an raya “terhenti” setakat di situ, lebih kurang. Selain daripada aktiviti ziarah, tidak ada yang luar biasa. Tetapi Ramadhan dan raya di sana penuh makna.

Saya mula belajar untuk lebih menghargai Ramadhan sewaktu saya di sana. Mungkin kerana kurangnya perhatian diberikan kepada aktiviti memborong baju raya, mungkin juga kerana tidak lagi memikirkan aktiviti untuk merebut duit raya. Tumpuan pula lebih diberikan kepada memperbaiki dan meningkatkan ibadah.

Suasana dan komuniti di sana berperanan besar dalam membentuk persepsi yang sebenar terhadap Ramadhan. Yang sepatutnya dikejar ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dirindui ialah Ramadhan. Yang sepatutnya dinanti-nanti ialah Ramadhan.

Syawal itu hari kemenangan. Tapi apa erti kemenangan sekiranya puasa kita sekadar lapar dan dahaga? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita tiada beza dengan hari-hari lainnya? Apa erti kemenangan sekiranya puasa kita gagal mengubah diri kita? Apa erti kemenangan sekiranya kita tidak melipat-gandakan usaha sepanjang berada di dalamnya?

Ramadhan akan datang, kita perlu lebih bersedia menyambutnya.

139 Hari…

Posted on

Bismillah…

Sudah lama tidak menulis di blog ini. Barangkali kurangnya kekuatan untuk menulis sesuatu yang bermanfaat untuk semua yang membaca blog ini…

Alhamdulillah, sudah 139 hari sejak saya melafazkan “Aku terima nikahnya…”. Sejak mula mendirikan rumah tangga, alhamdulillah…sedikit sebanyak pengalaman berjaya diperoleh. Namun perjalanannya masih jauh.

Memang betul, perkahwinan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan bagi mereka yang berada di luar san, yang mengharapkan perkahwinan dapat menyelesaikan masalahnya terhadap kecenderungan untuk berzina, ketahuilah bahawa bila berkahwin, beribu-ribu lagi cabaran yang akan dilalui, bahkan ada yang lebih hebat daripada cabaran untuk berzina itu sendiri.

Perkahwinan ini penuh dengan tanggungjawab. Selaku suami, saya sangat-sangat terasa bahawa masa depan keluarga yang saya ingin bina betul-betul terletak kepada semua keputusan yang saya ambil, baik perkara yang kecil mahupun perkara yang besar. Tanggungjawab seperti inilah yang membuatkan saya berfikir banyak kali, “ke arah mana yang saya ingin tujui?”.

Saya teramat yakin, ramai yang mengimpikan untuk mempunyai keluarga yang bahagia yang dicerikan dengan anak-anak yang soleh wa musleh. Ramai yang berusaha untuk menuju ke arahnya, tetapi tidak semua yang berjaya. Mengapa? Banyak faktor yang mempengaruhi. Yang pasti, faktor utamanya adalah melibatkan diri orang yang membinanya.

Allahua’lam…pengalaman saya dalam bab rumahtangga masih terlalu cetek jika mahu dibandingkan dengan mereka yang sudah berkahwin 10, 20 bahkan 30 tahun dan seterusnya. Semoga rumahtangga yang saya cuba bina ini dirahmati oleh Allah…

Antara perkara yang saya rasa sejak saya berkahwin ini ialah saya tidak mahu melihat keluarga saya hidup susah, baik dari sudut material mahupun dari sudut spiritual. Yang penting, saya perlu tanamkan pada diri saya, “kejarlah akhirat, nescaya kamu akan memperolehi kedua-duanya (dunia dan akhirat)”.

 

Sebulan Sahaja Lagi

Posted on

Bismillah

Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah

Lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum tempoh 4 tahun undergrad ini tamat. Perasaan gembira dan tidak sabar untuk menamatkan pelajaran itu begitu membuak sekali, tetapi dalam masa yang sama perasaan sedih yang teramat sangat turut mengundang. 4 tahun saya ‘bersama’ dengan West Lafayette, IN ini, sudah terasa seperti rumah sendiri…bahkan lebih aman dan tenteram berbanding suasana Malaysia yang penuh dengan hiruk-pikuk dan huru-hara politik yang cukup menyampahkan.

Setiap kali teringat tarikh commencement yang bakal tiba pada May 14 nanti, terasa sebak yang teramat sangat di hati, hampir sahaja mahu menitiskan air mata. Sungguh, saya lebih banyak mengenal Islam di semasa berada di sini berbanding di tempat-tempat lain yang pernah saya tinggal. Ini membuatkan rasa sense of belonging pada tempat ini begitu tinggi, dan terasa sangatlah sayang kerana terpaksa meninggalkannya tidak lama lagi.

Dalam tempoh yang berbaki ini, banyak lagi urusan yang belum selesai. Usaha untuk membentuk sebuah legasi masih lagi tidak begitu jelas kelihatan hasilnya. Tetapi bukan itu yang menjadi concern utama saya buat masa ini. Apa yang lebih penting ialah usaha itu perlu digandakan, gerak kerja itu harus diperkemaskan, dan doa itu harus ditingkatkan lagi kualitinya. Tiada gunanya memikirkan perancangan demi perancangan tetapi tidak disertakan dengan tindakan sewajarnya. Perancangan yang sedikit dan rapi serta disertakan dengan tindakan itu adalah lebih bermakna berbanding perancangan yang lebat-lebat tetapi hanya tinggal sebagai PLAN of actions.

Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mengeluarkan diri sendiri daripada suatu kebiasaan atau rutin harian. Bahkan usaha untuk memahamkan orang lain itu harus bermula dengan memahamkan diri sendiri akan hakikat sebuah PERUBAHAN. Suatu perubahan itu harus mempunyai dasar yang kukuh sebagai asas yang mampu melonjakkan seseorang ke tingkat yang lebih tinggi. Dasar itu perlu dijadikan garis panduan dalam setiap perbuatan harian. Atas dasar yang sama juga kita berusaha memperkenalkan sebuah model perubahan kepada orang lain.

Usaha utama kita adalah memperkenalkan model tersebut sahaja, tetapi untuk mengubah seseorang itu bukanlah berada dalam bidang kuasa kita.

Dan perubahan itu haruslah bermula dengan diri sendiri.

Tiada siapa mampu melakukan perubahan besar dalam sistem kehidupan dalam tempoh satu malam sahaja, kerana ia bukanlah fitrah kejadian manusia. Dari situ datanglah keperluan untuk bersabar, dan bersabar, dan bersabar. Sabarlah…

Sabarlah dengan kerenah manusia yang berada di sekelilingmu, kerana mereka juga manusia yang mempunyai pelbagai kelemahan sepertimu…

Sabarlah dengan rakan seperjuanganmu yang mungkin tidak memahami dirimu, kerana mereka juga adalah manusia yang sedang melakukan perubahan dan masih dalam usaha untuk memahamimu

Sabarlah dengan rakan seperjuanganmu yang mungkin sering menyakitimu, kerana mereka juga dalam proses untuk meningkatkan keupayaan diri mereka agar lebih mampu membantumu

Sabarlah dengan rakan serumahmu yang mungkin tidak sekepala denganmu, kerana pada awalnya itu adalah kesalahanmu yang gagal mengajak mereka agak bersama-sama denganmu

Sabarlah dengan adik-adikmu yang mungkin susah untuk menerima cakapmu, kerana mungkin ia adalah salahmu ayng bercakap bukan dengan bahasa yang sesuai dengan mereka

Sabarlah dengan abang-kakakmu yang mungkin tidak memahami tindakanmu, kerana mungkin mereka tidak menerima pendedahan seperti yang kamu dapat semasa mereka berada di-umurmu

Sungguh…banyak sebab yang boleh membantumu untuk bersabar dengan orang lain, dan mudah-mudahan lahirlah husnuzhon dengannya…akhirnya ia juga akan membantu dirimu untuk berubah dan memperkenalkan suatu perubahan…

Tetapi menulis sahaja tanpa tindakan pun tiada gunanya…atau membaca sahaja tanpa perlaksanaan pon tiada manfaatnya…

Mudah-mudahan sedikit pengalaman yang berjaya dikutip sepanjang berada di US ini mampu membantu diriku dan orang lain meningkatkan keupayaan diri sendiri melaksanakan agenda perubahan yang matlamat agungnya adalah untuk mandapatkan Redha Allah…

Dalam tempoh yang singkat ini, mudah-mudahan Allah membantuku untuk melaksanakan apa yang aku tidak laksanakan sejak aku tiba di Purdue.

Terima kasih ya Allah kerana memperkenalkan aku kepada rakan-rakanku yang berusaha untuk menyayangi Islam dan mahu orang lain turut sama menyayangi Islam seperti mereka juga. Tiada nikmat yang lebih baik selain melihat Islam mekar dalam diri sendiri dan orang lain. Semoga dalam tempoh yang singkat ini aku mampu untuk berusaha sebaiknya…ameen…

Al-Maidah (5:44)

Posted on Updated on

Bismillah

وَمَن لَّمۡ يَحۡكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ

dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir (44)

  • Menetapkan hukum di sini tidak hanya diletakkan dalam situasi mahkamah pengadilan mahupun undang-undang sesebuah negara
    • Hukum di sini bererti setiap keputusan yang dibuat dalam kehidupan seharian
    • Apabila kita ingin melalukan sesuatu perkara, apa kita membuat keputusan, adakah kita ada melakukan penilaian yang sepatutnya?
  • Allah menurunkan Al-Quran sebagai bimbingan kepada manusia untuk membuat keputusan sesuai dengan syariat-Nya
    • Apabila seseorang itu melakukan sesuatu sesuai dengan syariat-Nya, maka dia telah melakukan perbuatan muslim
    • Apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang tidak sesuai dengan syariat-Nya, maka dia telah melakukan perbuatan kufr
  • Nisbah kekufuran seseorang diukur menurut sejauh mana bangkangannya terhadap hukum Allah
    • Seseorang mungkin setengah kafir, sepertiga kafir, sepersepuluh kafir, seperduapuluh kafir

Rujukan: Manhaj Hidup Muslim (Himpunan khutbah Sh Al-Maududi & Sh Syed Qutb)

“Ahli Ibadat yang Bermain-Main”

Posted on

Ibnu al-Qayyim Rahimahullah telah mengatakan: “Bagi orang yang berani dan kuat yang mampu menggerunkan musuh dengan serangannya, perlu berdiri di barisan depan dan berjihad menentang musuh Allah. Tindakan ini lebih utama dari mengerjakan haji, puasa, sedekah dan ibadah sunat yang lain.”

“Bagi tokoh-tokoh agama yang alim dan memahami sunnah, halal haram, kebaikan dan kejahatan, pandai bergaul dengan orang ramai, mengajar dan menasihati dalam bab-bab agama lebih utama baginya dari mengasingkan diri dari orang ramai dan menghabiskan masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan bertasbih semata-mata.”

– dipetik daripada Al-Muntalaq karangan Muhammad Ahmad Ar-Rashid

Astaghfirullah…

Astaghfirullah…

Astaghfirullah…

Terasa seperti menerima tembakan padu menembusi hati yang sudah lama kaku…

Terasa seperti amalan-amalan sebelum ini tidak lain hanyalah membuang masa…

Terasa seperti hidup ini tidak lain hanyalah demi diri sendiri…

Aku bukanlah tokoh agama, bukan juga dalam kalangan alim ulama, tetapi aku mengetahui bahawa diriku mempunyai kelebihan yang macam mana. Selama ini aku sangka bahawa apa yang sering menjadi ibadah harianku, itulah yang terbaik buatku. Ya, aku amat yakin bahawa yang aku lakukan itu sunnah dan boleh membawa diriku dekat padaNya. Akan tetapi, aku terlupa bahawa aku ini siapa.

Seringkali dalam perancangan hidupku, aku mengaturnya mengikut prioriti. Tetapi aku terlupa, bahawa hampir semua yang aku aturkan hanyalah untuk diriku sahaja. Begitu kurang masaku dimanfaatkan untuk orang lain. Begitu kurang ilmuku disampaikan dengan kawan-kawan lain. Begitu kurang kelebihan yang aku ada dikongsikan pada rakan-rakan seperjuanganku. Aku leka dengan diriku.

Astaghfirullah, sungguh tinggal sedikit lagi masaku di bumi US ini. Alangkah hinanya diriku, membiarkan rakan-rakanku melakukan kerja-kerja, dan aku hanya melihatnya sahaja. Ya Allah, besarnya dosa hambamu ini. Ampunilah diriku ya Allah, dan bantulah aku untuk berubah…