Month: June 2014

Zina Mata (2)

Posted on Updated on

Zina itu sendiri adalah suatu larangan yang besar. Dalam surah Al-Isra’ (17:32), Allah bukan sekadar melarang perbuataan zina, bahkan Allah melarang apa-apa perbuatan yang menjerumus ke arah zina.

Larangan Allah terhadap zina itu adalah hikmah agar keturunan manusia terjaga. Hubungan kelamin itu adalah khusus untuk pasangan suami isteri kerana hubungan itu bukanlah sekadar hubungan fizikal dan emosi, ia sepatutnya hanya berlaku bersama-sama dengan keterikatan dan komitmen yang lain ke arah objektif yang lebih besar.

Realitinya, mereka yang berzina, hubungan tidak kekal lama. Yang sering menjadi mangsa adalah golongan wanita. Sesudah diketahui mengandungkan anak hasil zina, seringkali mereka akan ditinggalkan. Selepas itu barulah menyesal tak sudah, terpaksa menanggung malu sendirian. Bahkan ada yang bertindak nekad menggugurkan, dan yang paling teruk, membunun anak yang tidak berdosa, dengan pelbagai cara.

Demi memelihara kemaluan daripada melakukan zina, Allah telah memperingatkan kita agar jangan mendekati perkara yang boleh membawa kita kepada zina. Antara faktor paling kuat yang boleh membawa kita kepada zina adalah melalui penglihatan.

Zina mata amat mudah berlaku. Sumbernya banyak. Tidak perlu keluar rumah, cukup di kaca TV – sudah ada macam-macam rancangan yang mendedahkan aurat wanita sama ada sedikit atau banyak. Di luar rumah pula, jalan ke mana-mana sahaja pasti akan terjumpa mereka yang mendedahkan aurat.

Zina mata tidaklah pada kita melihat aurat seseorang semata-mata. Ia berlaku apabila pandangan tersebut menyebabkan jiwa bergelora dan fikiran mula melayang seterusnya berfikir yang bukan-bukan. Bak kata pepatah, “Dari mata turun ke hati”. Sebab itu, bagi mengelakkannya berlaku, Allah telah menurunkan peringatan kepada orang-orang beriman agar memelihara pandangan (An-Nur, 24:30).

Larangan Allah itu sangat penting untuk kita akur. Kita rasa macam tidak mungkin kita akan terlibat dalam perzinaan. Jangan terlalu yakin.

Sekiranya kita dihidangkan dengan makanan kegemaran kita yang dimasak dengan cara yang amat sedap dan menghidangkan aroma yang mengiurkan, dengan perut tersangat lapar yang penuh berselera, apakah reaksi kita pada waktu itu?

Macam itu lah lebih kurang gamabran perasaan orang yang sedang berada pada jalan-jalan yang menghampiri zina, apatah lagi orang yang akan berzina. Sukar untuk menahan diri. Hanya mampu berhenti apabila sudah “kenyang”.

Oleh itu, jalan yang paling baik adalah untuk mengelakkan diri terus daripada zina mata. Mereka yang terlibat, sentiasa mempunyai kecenderungan untuk melakukan zina. Ini kerana nafsu manusia tidak akan dapat dipuaskan. Diberi betis, mahu peha. Apabila sudah biasa dengan zina mata, nafsu kata tak cukup puas, mahu yang lebih ‘syok’. Sebelum lebih teruk, lebih baik STOP.

Sekali lagi, jangan terlalu yakin. Kita ini sebenarnya lemah, dan mudah dilemahkan dengan godaan-godaan yang mengiurkan. Apabila ditawarkan keuntungan RM3000 dalam tempoh 2 minggu dengan pelaburan hanya RM1000, jarang kita berfikir panjang, kita terus sambar. Tahu-tahu kena tipu. Itulah dunia. Kita dijanjikan dengan kesenangan sementara, tetapi yang membuat janji itu adalah manusia, manusia yang penipu, mahu songlap duit kita.

Begitulah syaitan, menggoda manusia dengan keseronokkan sementara, sudah mati baru tahu kita ditipu. Pada waktu itu sudah terlambat. Amal yang kita ada, belum tentu boleh bawa kita selamat.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memelihara diri kita sebaiknya.

Advertisements

As-Siddiq

Posted on Updated on

Siapa yang tidak biasa dengan perkataan As-Siddiq?

Sebut sahaja As-Siddiq, minda kita secara pantas memikirkan tentang seorang sahabat Nabi yang agung, Saiyidina Abu Bakr RA. Kisah kehebatan beliau banyak diceritakan dalam kitab-kitab yang masyhur yang ditulis oleh pelbagai ulama berzaman-zaman. Sedutan kehidupan beliau banyak yang boleh dipelajari oleh generasi-generasi kini dan mendatang.

Beliau bukan secara tiba-tiba menjadi sahabat yang paling rapat dengan Nabi.
Beliau bukan secara tiba-tiba boleh membenarkan kata-kata Nabi selepas peristiwa Isra’ Mi’raj.
Beliau bukan secara tiba-tiba dipilih oleh Nabi sebagai peneman ketika peristiwa hijrah ke Madinah Al-Munauwarah.
Beliau bukan secara tiba-tiba dilantik oleh para sahabat yang lain sebagai pengganti Nabi untuk memimpin umat Islam sesudah kewafatan Nabi.

Beliau telah bersahabat dengan Baginda sebelum kerasulan lagi. Apabila Baginda diangkat menjadi Rasul, beliau adalah antara assabiqun alawwalun dan telah menyerahkan dirinya secara keseluruhannya untuk Islam.

Dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, beliaulah yang membenarkan kata-kata Nabi dan mempercayainya tanpa soal. Gelaran as-Siddiq yang diberikan kepada beliau ini bukanlah semata-mata kerana beliau membenarkan kata-kata Nabi, malah ia lebih daripada itu.

As-Siddiq dari satu sudut memberikan gambaran bahawa pemegang gelaran ini adalah orang yang sentiasa bercakap benar. Sifat sebagai as-Siddiq ini adalah sifat yang mana apa yang dipercayai dalam hatinya adalah sama dengan apa yang dilakukannya. Dalam erti kata lain, apabila Abu Bakr RA membenarkan kata-kata Nabi dalam peristiwa isra’ mi’raj, beliau membenarkan tanpa ada se-zarah keraguan pun dalam hatinya.

Dalam peristiwa perang Tabuk, Abu Bakr RA telah menyerahkan seluruh hartanya untuk persiapan peperangan. Lalu Rasulullah telah bertanya kepadanya, “Apa yang kamu tinggalkan untuk dirimu dan keluargamu?”. Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya”, dan sesungguhnya kepercayaan yang beliau ucapkan itulah selari dengan imannya yang sangat yakin bahawa Allah akan membantunya mencukupkan keperluan diri dan keluarganya.

Tiada keraguan pada imannya, tiada keraguan pada amalnya.
Apa yang diucapkan atau dilakukan, itu adalah benar-benar terjemahan imannya.
Apa yang betul-betul dicintainya, itulah yang benar-benar yang dikejarnya.
Tiada langsung perbezaan antara apa yang diimaninya dan apa yang dimalkannya.
Itulah As-Siddiq.