Month: June 2012

Yulia Tymoshenko

Posted on

Nama Yulia Tymoshenko adalah sangat asing dalam hidup saya. Tidak pernah didengari, apatah dikenali orang ini, tetapi namanya sangat popular pada saat ini. Kisahnya digembar-gemburkan dengan hebat sempena kedatangan EURO 2012 ketika ini.

Baca di sini untuk sedikit latar belakang beliau: http://en.wikipedia.org/wiki/Yulia_Tymoshenko

Apabila disoroti perjalanan politik beliau, saya teringat kepada seseorang. Jalan cerita mereka berdua hampir sama, mereka dihukum atas kesalahan yang sama, tujuan mereka dihukum juga sama: untuk membunuh kareer politik mereka.

Sudah tentu di negara Ukraine, perkara yang sama kita akan dapati. Pasti ada sahaja mereka yang menyokong dan menentang beliau. Pasti ada sahaja usaha daripada puak yang ingin menjatuhkan beliau, cuba mencari apa sahaja jalan, asalkan beliau berjaya dihukum melalui saluran undang-undang.

Seperti yang dijangka, dalam kalangan rakyat Ukraine, ada yang bijak menganalisis situasi semasa, ada juga yang bodoh yang menerima apa sahaja yang disuapkan. Ada juga yang bijak yang memanipulasi keadaan, ada juga yang bodoh yang menjadi bahan untuk dimanipulasikan. Ada yang bijak yang mengambil kesempatan, ada yang bodoh yang jatuh ke dalam perangkap.

Yang pasti selamat adalah orang yang berusaha mencari ilmu, dan berdiri atas prinsip kebenaran. Biarpun disuap dengan pelbagai cerita, dihidangkan dengan pelbagai upacara, disajikan dengan pelbagai hadiah, golongan ini akan tetap menerima apa yang benar sekalipun ia datang daripada pihak lawan, dan menolak apa yang salah sekalipun ia datang daripada pihak kawan.

Mustahil kebatilan akan berkuasa untuk selama-lamanya. Yang haq tetap akan kembali semula.

Advertisements

332 Hari Sudah Berlalu

Posted on

Bismillah

Sudah 332 hari berlalu sejak saya mengucapkan lafaz qabul dalam upacara akad nikah tahun yang lalu.

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Tiada ucapan yang lebih baik untuk diucapkan, kerana sehingga saat ini saya masih lagi diizinkan Allah untuk terus mempertahankan, dan juga memperkuatkan ikatan perkahwinan yang dibina. Mungkin kenyataan di atas agak pelik, terutamanya bagi yang belum berkahwin, tetapi inilah hakikatnya.

Tidak sedikit mereka yang berkahwin, akhirnya bercerai dalam tempoh perkahwinannya belum cukup satu tahun. Apatah lagi, ramai juga yang akhirnya bercerai setelah berkahwin 3-5 tahun. Inilah yang saya risaukan. Kita tidak tahu sama ada kita akan tergolong sama dalam golongan yang sedemikian. Tetapi kita perlu berusaha untuk mengelakkan diri kita daripada termasuk dalam golongan itu.

Alhamdulillah, walaupun banyak perbezaan yang berlaku antara saya dan isteri, banyak kekurangan yang ada pada diri saya dan isteri, kami masih lagi bersama. Tambah-tambah lagi, pada saat ini isteri saya sedang mengandung, saya sebagai suamilah yang paling terasa perbezaan mood yang dihadapi oleh si isteri. Bertambah-tambahlah ujian yang bakal dihadapi oleh kami berdua, dalam menempuh jalan menerima kehadiran orang ketiga dalam keluarga ini.

Keyakinan saya, dalam mengekalkan hubungan suami-isteri ini, ialah perlunya kerjasama antara suami dan isteri. Tidak mungkin ikatan ini dapat dikekalkan jika hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha. Tidak mungkin! Antara perkara yang paling utama ialah komunikasi. Jika ada perkara-perkara yang kita tidak suka, kita berkongsi bersama secara hikmah. Jangan disimpan, kerana nanti perkara itulah yang akan kita jadikan alasan untuk bercerai, atau kahwin lain (bagi suami).

Usia perkahwinan saya masih muda, terlalu sedikit pengalaman berbanding dengan mereka yang sudah berkahwin lama. Apa-apa pun, dalam tempoh yang singkat ini, apa-apa pun boleh berlaku. Jadi jangan ambil ringan usaha untuk sentiasa memperbaiki hubungan antara suami-isteri. Ia tidak mudah, tapi ia juga tidak mustahil untuk dilakukan.

Saya mendoakan agar Allah sentiasa memberikan petunjuk kepada saya dan isteri, agar kami sentiasa mencari jalan penyelesaian atas setiap konflik yang berlaku, juga agar kami sentiasa dapat berkongsi suka dan duka dalam kehidupan di dunia yang singkat ini. Mudah-mudahan Allah membantu untuk mengekalkan jodoh kami hingga ke syura. Ameen.