Bismillah
Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah

Berjaya juga akhirnya menghabiskan buku nipis ini setelah beberapa minggu membelinya. Satu buku yang mengupas secara detail pengertian Syahadah dan konsepnya. Penjelasan secara terperinci diberikan bagi membolehkan pembaca memahami Syahadah secara menyeluruh dan melaksanakannya insyaAllah.
Buku ini mengandungi 2 isi kandungan yang utama iaitu makna “La Ilaaha Illallah” dan syarat-syarat penerimaan “La Ilaaha Illallah”.
Secara ringkasnya, penulis menerangkan bahawa “La Ilaaha Illallah” adalah satu penolakan dan penerimaan yang mutlak. Penolakan terhadap segala bentuk thaghut atau perkara-perkara yang disama-nilaikan dengan Allah, sama ada secara zahir mahupun batin. Ia adalah satu penolakan yang mutlak tanpa kompromi bahawa sememangnya tiada apa-apa pun di dunia ini yang boleh disekutukan dengan Allah ‘azza wajal.
Dan penerimaan bahawasanya Allah sahaja merupakan subjek yang layak disembah, ditaati, diberikan segala kesyukuran dan ketundukan yang mutlak, sama ada secara zahir mahu pun batin. Penerimaan ini berlaku secara menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan, dan segala-galanya dilakukan adalah kerana Allah semata-mata.
Penerimaan dan penolakan ini hanya boleh berlaku sekiranya seseorang itu ikhlas tanpa paksaan dalam melaksanakannya, serta mengambil sunnah Rasulullah sebagai tonggak ikutan dalam melaksanakan amalan-amalan ibadah.
Penulis mengemukakan banyak nas sebagai dalil membuktikan setiap kenyataan yang dibuat. Hal ini membantu mengukuhkan lagi penulisan beliau dan mampu menghasilkan rasa percaya, takut serta gentar seterusnya berusaha mengelakkan agar syahadah tidak menjadi sia-sia.
Penulisan beliau bagi saya lebih berbentuk warning atau amaran kepada pembaca, agar betul-betul memerhatikan setiap patah perkataan yang ditulis, untuk memahami konsep syahadah yang sebetulnya. Pemahaman yang jelas tentang syahadah adalah amat penting agar kita betul-betul tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman, dan tidak mensyirikkan Allah.
Buku ini amat sesuai sekali untuk dijadikan bahan tarbiyyah dan disebarkan penulisannya dengan bahan-bahan yang lain yang sedia ada di luar sana insyaAllah.
Syahadat ini ibarat akar pada sebuah pokok. Jika kuat akar pokok itu, maka kuat jugalah ketahanan pokok tersebut dari goncangan-goncangan luar yang amat dahsyat sekali. Jika lemah akarnya, maka mudahlah pokok itu tumbang ditiup angin.
Walahua’lam.

