Bismillah
Alhamdulillah tsumma Alhamdulillah
Sejak kebelakangan ini, saya banyak berfikir, terutamanya tentang bagaimana untuk melunturkan kecintaan kepada dunia yang ada dalam diri saya ini. Ya, saya akui, ia bukanlah suatu yang mudah, dan saya tak rasa perjuangan untuk melunturkannya akan berjaya dikecapi sepenuhnya, walaupun sehingga saya mengecap kematian nanti. Sebabnya, walaupun saya sudah berjaya mengatasi satu, dua, tiga atau empat, pastu ada yang lain akan menggantikannya. Dan begitulah Allah menguji hamba-hambaNya termasuklah saya, dan ianya tidak lain adalah untuk menguji keimanan kita kepada Allah.
Setelah beberapa lama berfikir, saya amat yakin memang saya sudah mempunyai jawapannya. Tapi kalau ia kekal sebagai jawapan yang ada dalam kepala saya, tanpa saya mengamalkannya, ia akan menjadi sesuatu yang sia-sia. Ya, sebenarnya yang berat tu adalah pengamalannya.
Ramai manusia sudah pasti mempunyai pelbagai jenis ilmu pengetahuan, dari segi halal haram dalam makanan, halal haram dalam mencari rezeki, halal haram dalam pergaulan, dan seterusnya. Ya, ramai sudah pasti mempunyai ilmu-ilmu ini. Tapi disebabkan kita tidak biasa mengamalkannya, ilmu-ilmu ini akan luput, dan seterusnya kita menjadi kabur dalam mengenal pasti mana yang hitam dan mana yang putih.
Kekaburan yang berlaku bukanlah kerana kita tidak pernah langsung mengetahui mana yang halal dan mana yang haram, tapi disebabkan kita sudah membiasakan diri bergelumang dengan dosa-dosa, akhirnya perkara-perkara ini sudah menjadi sebati dengan darah daging kita. Seterusnya menjadi semakin susah bagi kita untuk mengeluarkan diri daripada kebiasaan tersebut. Dan apabila datang segelintir manusia yang menegur tentang kesilapan yang kita lakukan, lantas ramai yang melenting dan ucapan-ucapan seperti “lantak akulah, kubur kita lain-lain” acap kali kedengaran. Jika tidak melenting pun, ramai yang tunduk dan mendengar teguran tersebut, tetapi tiada tindakan yang diambil selepas itu.
Astaghfirullah…
Barangkali ayat ini boleh membuka sedikit mata kita:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”
Al-Anfaal, 8:2
Sebenarnya, kita perlu yakin dengan sebetulnya bahawa Islam ini amat mudah untuk diamalkan.
Tapi kalau rasa susah jugak macam mana?
Ketahuilah, pada saat kita berasa susah itulah yang menjadi tanda bahawa betapa banyaknya perkara-perkara duniawi yang melalaikan telah banyak bertaut dalam diri kita…
Wallahua’lam…

