Bismillah
Alhamdulillah, pada Khamis yang lalu saya berkesempatan untuk menghadiri slot Islam di Nusantara yang berlangsung dari pagi hingga petang. Slot ini dibawa oleh Dr Hafidzi Md Noor, suatu nama yang sudah tidak asing lagi dalam memperjuangkan isu-isu Palestin di Malaysia.
Pada sebelah paginya, presentation lebih tertumpu kepada memahamkan semula konsep sejarah yang difahami oleh peserta-peserta. Muqaddimahnya sahaja mengambil masa hampir 1 jam! Beliau mengulas bagaimana penjajah-penjajah menggunakan subjek sejarah sebagai alat untuk memesongkan aqidah dan pemahaman umat Islam mengenai jati diri dan pemikiran.
Akhirnya mereka berusaha untuk menghilangkan terus Islam dari muka bumi ini dengan memadamkan sumbangan Islam dalam pemurnian cara hidup masayarakat dunia.
Pada sebelah petangnya pula, Dr Hafidzi memfokuskan perbincangan pada perkembangan Islam di Nusantara. Diceritakan bahawa selepas kejatuhan kerajaan Islam Melaka, timbul kerajaan-kerajaan Islam yang lain di Nusantara. Antaranya ialah di Acheh, Demak, Mindanao, dan lain-lain.
Agenda Portugis dan Belanda untuk menakluki dunia dihalang dengan usaha-usaha pertahanan yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan Islam tersebut.
Pembentangannya sangat menarik dan amat membuka minat terhadap sejarah. Selama ini apabila mendengar sahaja subjek sejarah, saya memang akan mengantuk dan tidur sahaja kerana kakunya teks sejarah yang dibekalkan. Saya kira ramai yang tidak kisah dan sambil lewa sahaja mempelajari subjek Sejarah.
Tetapi Dr Hafidzi telah menerangkannya sebagai subjek yang sangat menarik dan amat penting untuk dipelajari. Masakan tidak, beliau telah mengupas hampir semua penyelewengan sejarah yang dilakukan penjajah, dan memberikan kefahaman sebenar mengenai sejarah nusantara ini. Beliau menerangkan dalam bentuk cerita yang lebih mudah difahami, walaupun sarat dengan fakta.
Alhamdulillah, satu peluang yang sangat saya hargai untuk membuka kembali minat saya terhadap sejarah, terutamanya sejarah perkembangan Islam pada zaman Nabi. Untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap Islam dan juga menjelaskan pemikiran kita terhadap agenda penjajah, inilah antara kepentingan mendalami sejarah!
p/s: Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan Islam di Nusantara, bacalah buku Dr Hafidzi “Jejak Risalah di Nusantara” terbitan JIMedia.


